“Sudah Nampak ‘Mood Swing’ Isteri Lain Macam,” – Teruja Nak Jaga Bayi, Fattah Cerita Saat Awal Tahu Fazura Hamil

Share

Suami kepada Fazura, pelakon dan penyanyi Fattah Amin mengakui ada bertanya dengan kenalan serta ahli keluarga yang sudah bergelar bapa sebagai persediaannya meniti hari untuk menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Kata Fattah, selain bertanya dia juga banyak melakukan pencarian sendiri dalam hal berkaitan keibu bapaan.

“Saya banyak bertanya dan cari ilmu sebagai persediaan untuk bergelar bapa. Yang lucunya, nasihat yang saya terima daripada kebanyakan bapa sama saja iaitu ‘selamat berjaga malam’.

“Saya masih tidak dapat gambaran kerana kelahiran yang akan datang adalah pengalaman pertama kami. Sejauh mana teruknya ‘berjaga malam’ itu saya tidak pasti.

“Sudah tentu rasa teruja nak jaga bayi, tapi cerita di sebaliknya itu buat saya gementar juga.

“Apa pun saya mengharapkan yang baik dan saya percaya perkara itu lumrah. Kena bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Fattah pada masa sama turut merakam kembali memori saat awal mengetahui isterinya itu berbadan dua.

“Sebelum PKP, kami ada penggambaran di Bangkok, Thailand untuk satu jenama. Ketika itu kami macam sudah nampak ‘mood swing’ Fazura yang lain macam.

“Lazimnnya setiap kali ada penggambaran bersama kami okay sahaja. Cuma ketika itu kerana beberapa hal, emosi dia lain macam sikit.

“Jujurnya saya dan ‘team’ ada terfikir mungkin kerana  dia hamil dan pembantu syorkan untuk buat pemeriksaan.

“Jadi pulang ke tanahair, dua tiga kali juga kami lakukan pemeriksaan sendiri dan hasilnya positif. Sejak itu semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Syukur dia tidak ada alami alahan yang teruk-teruk. Fazura juga tidak ada minta atau mengidam perkara yang pelik-pelik,” jelas Fattah.

Dalam perkembangan lain, bintang yang bakal muncul menerusi filem Mat Kilau ini baru sahaja muncul dengan single kelima yang berjudul Bebas.

“Lagu tersebut sudah dilancarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Cumanya, promosi tidak dapat dijalankan secara menyeluruh atas situasi semasa dan hanya tertumpu di media sosial sahaja.

“Lagu tersebut dicipta Rudy Nastia sementara liriknya pula oleh Leo Azman. Bebas digambarkan sebagai satu lagu yang mampu menaikkan semangat.

“Malah jalan cerita di dalam muzik videonya juga berkaitan dengan kisah seorang pelajar yang sering dibuli.

“Lalu bila mendengar lagu ini, berikan dia lebih semangat dalam menjalani hidup sehari-hari dan saya juga akan lancarkan sebuah lagi single baru ciptaan Hafiz Hamidun  dalam tempoh terdekat.

“Lagu tersebut sudah pun dirakam dan saya teruja kerana ia genre yang tidak pernah saya nyanyikan sebelum ini. Harapnya ia mendapat reaksi baik pencinta muzik apabila dilancarkan nanti, insya-Allah,” akhirinya.

Published by
Rafiq Mazlan