Categories: Hiburan

Sudah Rakam Lagu Dengan Ajai, Sharif & Syaiful Sedar Diri, Tak Mampu Capai Standard Penyanyi Pro

Share

Duo Sharif dan Syaiful tidak menyangka bakal dinobatkan selaku juara Famili Duo musim ke-3 disebabkan tentangan hebat yang telah diberikan dua finalis lain.

Menurut Sharif, dia dan Syaiful terharu kerana penglibatan mereka dalam bidang nyanyian mendapat sambutan yang luar biasa.

“Kami tak menyangka bakal bergelar juara sebab ketika rehearsal, duo-duo lain telah berikan yang terbaik. Kami hanya mahu bergembira di atas pentas dan menghiburkan para penonton.

“Malam ini merupakan sejarah bagi hidup kami. Sebelum ini, kami hanya muncul di program lawak tapi kali ini, di pentas nyanyian pun kami diterima.

“Ketika buat persembahan, kami sebak sebab ada yang berikan standing ovation. Dulu masa melawak sahaja orang berdiri. Kami terharu kerana dihargai sebegini,” katanya kepada MH.

Bagaimanapun, Sharif enggan isu pelawak mengalahkan penyanyi profesional ini terlalu diperbesarkan.

Katanya lagi, standard mereka dengan penyanyi profesional amat jauh dan mereka hanya memanfaatkan kelebihan dari segi kreativiti persembahan.

“Pada saya, tiada istilah kami mengalahkan penyanyi profesional. Kami tahu mereka adalah penyanyi-penyanyi hebat.

“Kemenangan kami ini mungkin disebabkan faktor kami berjaya menambat hati juri dan penonton. Janganlah cakap kami mengalahkan mereka. Standard kami jauh ketinggalan.

“Seperti yang diperkatakan juri, kami hanya memanfaatkan kelebihan dari segi persembahan. Alhamdulillah persembahan kami pada malam ini diterima,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Sharif dan Syaiful tidak menolak andai diberikan ruang untuk bergerak serius dalam bidang nyanyian.

“Selepas lapan minggu bertanding, saya milihat yang kami ini boleh menghiburkan orang dalam bentuk nyanyian.

“Jadi, tak salah rasanya kami mengambil serius dalam bidang ini. Siapa tahu, mungkin selepas ini kami akan menubuhkan band.

“Ada peminat yang sukakan kami menyanyi selain daripada melawak,” ulasnya lagi.

Malah, duo adik beradik ini turut mendedahkan mereka sememangnya sudah punyai projek single bersama komposer terkenal Ajai.

“Memang benar kami ada projek bersama Abang Ajai. Malah, ia telah bermula sejak fasa PKP lagi. Lagu pun sudah selesai dirakam cuma muzik video yang masih tertangguh.

“Bila dah habis PKP pula, kami sudah mula bekerja dan tiada masa sesuai.

“Namun, Allah SWT telah menyusun cantik perjalanan kami sejak bertanding di program ini. Mungkin selepas ini kami akan selesaikan projek ini. Ia merupakan projek bertiga bersama kumpulan Zero,” akhirinya.

Terdahulu, duo Sharif dan Syaiful telah berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi.

Dua lagi finalis yang turut bertanding pada pentas akhir ini adalah duo adik beradik, Adira & Emma Suhaimi dan duo sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf