Program realiti, Big Stage kembali lagi menghangatkan industri hiburan apabila tampil dengan kelainan yang menggabungkan negara dari Brunei, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
Mewakili peserta dari Malaysia ialah Adzrin Amiruddin, Irfan Haris, Kuchaimars, Santesh, Fieya Julia, Neeta Manishaa, Sheryl Shazwanie dan Syada Amzah.
Manakala peserta dari Thailand pula terdiri daripada Chaleeda Gilbert, Dinda Permata mewakili Indonesia dan Aziz Harun mewakili negara Brunei.
Paling memberi tumpuan adalah peserta dari Korea Selatan iaitu Jang Han-Byul.
Akui bintang Korea itu, program ini merupakan cabaran terbesar baginya kerana bakal bersaing dengan para peserta yang sangat hebat.
“Program ini (Big Stage 2019) adalah satu cabaran yang besar buat saya kerana saya akan bersaing dengan peserta yang mempunyai kehebatan vokal dan gaya mereka yang tersendiri,” kata Han-Byul kepada MH.
Malah, Han-Byul sudah bersedia untuk menyanyikan beberapa buah lagu Melayu kerana mahu mencabar dirinya sendiri dalam program realiti ini.
“Saya sudah bersedia untuk menyanyikan lagu-lagu Melayu dan saya sedang mencuba menyanyikan beberapa lagu yang perlu dihayati untuk menjiwai lagu tersebut.
“Saya rasa diri saya adalah pencabar utama kerana saya perlu berdepan dengan bahasa Melayu dan peserta juga hebat belaka,” katanya jujur.
Memiliki 24,000 pengikut di Intagram, Han-Byul sedikit-sebanyak sudah membuat latihan untuk menyanyikan lagu bahasa Melayu untuk pentas Big Stage yang bermula pada 18 Ogos ini
“Saya sudah mencuba melakukan latihan untuk menyanyikan lagu bahasa Melayu seperti lagu dari Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya tersenyum dan mahu merahsiakan tajuk lagu terlebih dahulu.
Antara lagu hit anak kelahiran Australia ini seperti Shooting Star, Run To You, Time Is Up dan Let The Wind Blow.
Malah, lagu-lagu tersebut sudah mencecah 2 juta tontonan.
Program Bis Stage 2019 ini masih mengekalkan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai juri tetap bersama dua orang bintang Indonesia, Cakra Khan dan Judika sebagai juri secara bergilir-gilir setiap minggu.
Juara Big Stage 2019 akan membawa pulang RM100,000 berserta trofi. Tempat kedua RM50,000 dan tempat ketiga RM25,000 dan masing-masing akan menerima trofi.
Tempat keempat bakal membawa pulang RM10,000 dan RM5,000 di tempat kelima.
Foto : Instagram Jang Han-Byul