Penyanyi terkenal, Mas Idayu mengakui lelaki pilihannya yang juga penerbit eksekutif sebuah stesen televisyen, Muhammad Sufian Che Isa sudah pun menghantar ‘tanda’, Ahad lalu.
Menurut Mas Idayu, ia diberikan sejurus ahli keluarga kedua belah pihak bertemu bagi berbincang lanjut menjelang hari bahagia mereka.
Mas Idayu atau nama sebenarnya, Mas Idayu Mesnun dan Sufian merancang untuk melangsungkan perkahwinan September depan.
“Baru beberapa hari pihaknya hantar tanda. Bukanlah bertunang atau merisik. Sesi tersebut lebih kepada saling mengenali keluarga dan dia hadir sekali memberikan ‘tanda’.
“Perjumpaan dilakukan di kediaman keluarga saya. Kiranya inilah Syawal paling bermakna untuk saya kot. Tarikh nikah sudah pun ada, cumanya kami tunggu masa sesuai untuk kongsikan.
“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Jujurnya saya pun tak menyangka dia ada memberikan tanda untuk hubungan kami. Apa yang Sufian berikan, biarlah rahsia dulu. Nanti saya akan beritahu di media sosial,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan raja sehari, juri program baharu di Astro Ria, Karaoke Superstar ini menjelaskan ia sedang berjalan.
“Persiapan sudah pun 70 peratus, tinggal lagi untuk pilih lokasi dan beberapa hal lain. Ikutkan perancangan setakat ini, kami akan buat majlis berinai dan khatam al-quran.
“InsyaAllah majlis nikah dilangsungkan pada pagi dan resepsi pula akan berjalan pada sebelah malamnya,” katanya yang bakal muncul dengan produk penjagaan wajah tidak lama lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini .