Tidak dinafikan, lagu jiwang mendayu-dayu memang cepat menangkap halwa telinga pendengar. Namun bagi penyanyi Sufian Suhaimi, dia mengakui pada fasa sekarang, dia masih lagi berada di dalam tahap eksperimentasi terhadap setiap karya yang dihasilkan.
Ditanya sama ada dia selesa untuk digelar ‘penyanyi air mata’ kerana sinonim dengan lagu cinta sedih yang mendayu-dayu, penyanyi berusia 26 tahun itu bagaimanapun menjelaskan, dia cuba untuk menjadi penyanyi serba boleh, meski tidak menolak lagu jiwang cukup dekat dengan dirinya.
“Saya tidak mahu meletakkan diri di mana-mana posisi kerana pada tahap sekarang, saya masih lagi cuba untuk eksperimen terhadap setiap lagu yang saya hasilkan. Saya tidak boleh letakkan diri sebagai ‘penyanyi air mata’ hanya kerana jiwa saya dekat dengan lagu-lagu sedemikian. Memandangkan, saya sendiri tidak tahu apakah genre lagu yang bakal dihasilkan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
“Jadi buat masa sekarang, saya lebih selesa untuk menjadi penyanyi versatil, yang boleh membawa dan mencipta pelbagai genre lagu, insya-ALLAH,” kata Sufian kepada MH.
Mengulas mengenai single terkininya yang berjudul Terasa Ada, penyanyi yang juga merupakan tunang kepada aktres, Elfira Loy ini juga menyifatkan lagu tersebut mempunyai sisi berbeze daripada single terdahulu.
“Atas sebab tidak mahu statik dengan lagu hampir sama saja, saya cuba beri kelainan terhadap Terasa Ada. Kalau perasan, lagu sebelum ini lebih kepada soal meratapi cinta, namun kali ini saya cuba alihkan penceritaan lagu tersebut. Terada ada lebih kepada meraikan cinta jejaka buat gadis yang dicintainya,”akhirirnya jujur.
Sementara itu, muzik video beserta lirik untuk single Terasa Ada sudah pun ditonton hampir 700,000 kali di YouTube lebih sebulan ia dimuat naik. Tahniah Sufian!