Uncategorized

Sufian Suhaimi Terpaksa Curi-Curi Jumpa Elfira

Share

Penyanyi Sufian Suhaimi, 25, menegaskan kekasihnya, Elfira Loy bukan penyebab utama pengajiannya tertangguh sebelum ini.

Jelas Sufian, keputusan menangguhkan pengajian untuk satu semester di buat atas komitmen kerja, namun kerja menyiapkan tesis tetap dilakukan seperti biasa.

“Saya tak tahu bagaimana cerita ini boleh keluar (Elfira punca tangguh pengajian) kerana kalau ikutkan saya masih lagi on track, cuma jadual kerja yang padat membuatkan saya terpaksa menangguhkan pengajian.

 

“Tapi bukan saya saja begitu, dalam kelas saya ada 15 pelajar, 12 daripadanya termasuk saya menangguhkan pengajian kerana kekangan jadual dan tugasan yang banyak.

 

“Bagaimanapun apa yang boleh saya katakan, saya kini berada di dalam semester akhir dan sudah hampir menyempurnakan pengajian saya,” kata yang mengambil jurusan Komunikasi Massa peringkat ijazah sarjana Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ditanya mengenai persiapan pertunangannya yang dijangka berlangsung awal Oktober depan, Sufian berkata, pihaknya hanya membuat persiapan sederhana dan dia berharap majlis berlangsung seringkas mungkin.

Menyerahkan semua persiapan kepada keluarga kerana tidak banyak persiapan yang perlu dilakukan, Sufian turut memberitahu, mereka belum menetapkan tempoh bertunang sehingga segalanya selesai.

Biarpun bakal mengikat tali pertunangan, Sufian mendedahkan, dia dan Elfira tidak dapat bertemu sekerap dulu atas faktor jadual kerja yang berbeza.

“Selain sibuk dengan pengajian, saya kini sibuk mempromosikan single terbaru, Terasa Ada dan kini dalam perancangan mengeluarkan mini album.

 

“Manakala Elfira pula sudah kembali ke set penggambaran drama terbarunya, jadi agak sukar untuk kami bertemu.

 

 

“Boleh dikatakan kami kadang kala terpaksa ‘curi-curi’ untuk berjumpa, tapi tidaklah kerap,” ujarnya yang tidak terfikir untuk menceburi bidang lakonan.

Teks oleh: Wartawan Sinar Harian

Published by
Izzati Ramli