Berita

Suhaimi Sulaiman Dilantik Sebagai Profesor Adjung UiTM

Share

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman telah dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi Fakulti Komunikasi & Pengajian Media (FKPM).

Pelantikan beliau telah diumumkan dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi Instagram rasmi FKPM.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Yang Berbahagia Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Penyiaran atas pelantikan sebagai Profesor Adjung UiTM bagi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.

“Semoga pelantikan ini dapat melonjakkan Fakulti menggapai kecemerlangan yang diidamkan. Semoga terus cemerlang dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan,” tulis kapsyen pada hantaran tersebut

Pelantikan Suhaimi akan berkuat kuasa selama dua tahun bermula 15 Ogos 2024 sehingga 14 Ogos 2026.

Meninjau ke Instagram peribadinya, Suhaimi dilihat menerima kunjungan rasmi daripada pasukan pengurusan FKPM yang diketuai oleh Dekan, Profesor Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman yang menyerahkan surat lantikan secara rasmi.

Pada hantaran tersebut, beliau berkongsi, “Terharu atas pelantikan ini. Profesor Adjung Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM. It is all about giving back.”

Memulakan kerjaya dalam bidang perbankan, Suhaimi kemudiannya menyertai dunia pernyiaran pada 1990 sebagai wartawan dan penolong penerbit di TV3.

Beliau menjadi antara wajah terkemuka dunia televisyen Malaysia apabila menjadi tulang belakang dan wajah hadapan untuk pelbagai rancangan antaranya seperti Buletin Utama dan Malaysia Harini

Sebelum bergelar Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, alumni The Malay College Kuala Kangsar ini pernah mengetuai stesen penyiaran seperti Astro Awani dan Sarawak Media Group.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
Fiezreen