“Suka Tengok Sharing Datuk Bersedekah,” – Masukkan Duit Dalam Bekas Makanan Pula, Ini Cara Datuk Alha Alfa Buat ‘Product Review’

Share

Usahawan dan jurusolek popular, Datuk Alha Alfa mendedahkan dia mempunyai caranya yang tersendiri untuk berbakti semula kepada masyarakat dengan menggunakan sumber pendapatan hasil daripada perkhidmatan ‘product review’ yang dijalankan di platform media sosial.

Menurut Alha, dia amat berterima kasih kepada semua pemilik bisnes yang telah pun menggunakan perkhidmatannya selama ini.

“Alhamdulillah, thank you so much pada anda yang dah ambil slot review bersama saya.

“Ini antara cara saya sumbangkan semula pada mereka-mereka yang memerlukan insyaAllah thanks,” tulisnya.

Menerusi hantaran terkini di laman Instagram, Alha dilihat ada memaparkan caranya melakukan review bagi seekor ikan salmon.

Video berdurasi hampir tujuh minit itu turut menunjukkan cara Alha memasak menu berasaskan ikan salmon itu sebelum disumbangkan buat mereka yang memerlukan.

Malah, Alha turut dilihat memasukkan sejumlah wang di dalam bekas makanan tersebut bagi tujuan sedekah.

Video berkenaan nyata menarik perhatian ramai pihak selepas meraih hampir 300,000 jumlah tontonan selain turut dihujani ratusan komen.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memuji usaha tersebut selain turut mendoakan semoga Alha sentiasa dimurahkan rezeki.

“Serononya, terima kasih Datuk. Semoga murah rezeki buat mereka yang menyumbang.

“Semoga Allah melipat gandakan rezeki Datuk.

“MasyaAllah suka tengok sharing Datuk rajin bersedekah. Alhamdulillah, semoga Datuk sentiasa murah rezeki,” antara reaksi-reaksi netizen di laman Instagram.

Sebelum ini, Alha juga dilihat aktif dalam menyampaikan sumbangan berbentuk bakul makan buat mereka yang terjejas pendapatannya akibat pandemik Covid-19.

Sumber: Instagram Alha Alfa

Published by
Aizam Manaf