Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli merasmikan Precious Of Malaysia musim ketiga sekaligus melancarkan buku Pesona Kebaya-Enchanting of Kebaya (Dwi-Bahasa) pada Malam Gala di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), Ahad lalu.
Turut berkenan berangkat pada acara itu ialah Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra’ Binti Al-Wathiqu Billah Sultan Zainal Abidin.
Tetamu kehormat lain yang turut hadir ialah Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato Agil Natt, Pengarah Urusan MyCar, Datuk Noor Sheena serta Pengerusi Precious Of Malaysia yang juga pereka feysen, Jonathan dan Farel Mikhail.
Menurut Jonathan Kok dan Farel Mikhail yang juga penganjur acara FM Group, mereka menyifatkan kesudian Sultanah Nur Zahirah yang berkenan merasmikan program anjurannya sebagai sebuah mimpi yang menjadi kenyataan.
“Sehingga ke saat ini, kami berasakan kesudian Sultanah Nur Zahirah mencemar duli ke acara kami bagai sebuah mimpi yang menjadi realiti. Tidak pernah terbayangkan.
“Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada tim protokol Istana Terengganu kerana sudi mendengar hajat yang kami doakan selama ini. Hanya Allah yang mampu membalasnya.
“Semoga dengan perasmian Precious Of Malaysia dan pelancaran buku Pesona Kebaya ini menjadi satu momen indah buat kami. Tak mungkin dapat kami lupakan sampai bila-bila,” katanya.
Menurut Farel, segala sindiran dan kata-kata sinis yang cuba melemahkan semangatnya selama ini akhirnya dapat ditepis apabila terbukti Precious Of Malaysia kini menjadi sebutan ramai terutamanya dalam kalangan anak muda.
“Apa yang berlaku hari ini sebenarnya menguatkan lagi semangat kami untuk terus memartabatkan budaya Malaysia.
“Sebenarnya bukan mudah apa yang kami lalui. Dipandang rendah, disindir, dilabel syok sendiri, ‘muka tebal’ dan bermacam-macam lagi.
“Kami ini bukan robot tapi manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Kalau hati itu adalah kaca, dah lama dah berkecai tak dapat dicantum lagi.
“Namun, tuhan kuatkan semangat kami kerana arah tujuan kami jelas mahu mengangkat martabat budaya Malaysia yang menjadi identiti kita semua.
“Ditambah pula dengan kesudian Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli ke acara kami. Sungguh, gembira dan rasa syukur itu berganda-ganda,” ujarnya.
Sempena Precious Of Malaysia, FM Group telah menganjurkan International Cultural Fashion Week (ICFW) yang memberi peluang kepada para pelajar yang berlangsung pada 2 dan 3 Ogos lalu di lokasi sama.
Dalam pertandingan ini, sebanyak 23 jenama berentap dan menampilkan keunikan masing-masing. Pereka muda Afiq Syazani dinobatkan sebagai juara, Rashid Moshi naib juara dan UiTM (tempat ketiga).
Selain hadiah utama, ICFW turut mengumumkan barisan pemenang bagi 10 kategori lain iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer dan Promising Fashion Designer.
Turut diumumkan ialah pemenang bagi kategori Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.
FM Group menganjurkan pertandingan ini sebagai platform kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama dan tahun ini, mekanismenya sedikit berbeza.
“Dua tahun berturut-turut kami libatkan pereka fesyen tempatan sahaja. Kelainan untuk tahun ini kami turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia dan Filipina
“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari Malaysia dan negara luar.
“Untuk Malaysia, kami ketengahkan elemen Malaysia seperti batik, songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden pun dibenarkan.
“Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana melibatkan pereka fesyen dalam dan luar negara,” tambahnya.
Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga bakal menganjurkan Hari Tanjak Malaysia pada 10 Ogos depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini