Bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, pihak Awesome TV sekali lagi menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) dalam memperluaskan usaha menyantuni komuniti yang kurang bernasib.
Golongan sasaran itu termasuklah golongan anak yatim, asnaf, ibu tunggal, OKU, warga emas, orang buta serta pesakit dialisis menerusi perlaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Ihsan Kita’.
Liputan aktiviti kemasyarakatan itu turut menyaksikan penglibatan selebriti popular seperti Izzue Islam, Fimie Don, Mamak Puteh, Nizam Jentik-Jentik, Harris Alif, Danny Soda, Justin Ang dan Kamalia Jamaludin.
Ia boleh disaksikan menerusi lapan buah episod khas yang bakal ditayangkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 6.00 petang secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) bermula 1 April lalu.
Bagi menjayakan inisiatif amal tersebut, pihak KAPB dengan berbesar hati memperuntukkan sumbangan zakat berjumlah RM80,000 untuk diagihkan kepada lapan buah badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih.
Lapan badan kebajikan itu adalah Yayasan Orang Buta Malaysia (Brickfields), Rumah Perlindungan Al-Nasuha (Gombak), Rumah Titian Kaseh (Titiwangsa), Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia (Keramat), Pertubuhan Kebajikan Darul Jariyah (Rawang), Yayasan Chow Kit (Kuala Lumpur), Yayasan Islam Darul Ehsan @ Pusat Dialisis MAIS (Kuala Selangor) dan Yayasan Budi Ihsan Malaysia (Putrajaya).
Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zali menyifatkan Ramadan paling dinantikan pihaknya kerana berpeluang meningkatkan lagi amalan menerusi pelbagai bentuk pengisian bermakna dan memperkukuhkan ukhuwah.
“Selaku stesen televisyen yang prihatin, pihak Awesome TV memainkan peranan besar dalam mengambil langkah proaktif untuk menyokong sebarang usaha murni yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat di luar sana.
“Inisiatif penerbitan program seperti ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk mendekati dan berbakti kepada masyarakat yang dilihat menepati simbolik tema kempen Ramadan kami tahun ini iaitu ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya.’
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak terlibat di atas kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan program amal ini. Kami menghargai kesungguhan dan komitmen syarikat korporat seperti KAPB yang wajar dicontohi oleh semua.
“Besar harapan kami agar kerjasama murni ini dapat dipanjangkan lagi untuk tahun-tahun yang seterusnya,” katanya.
KAPB adalah sebuah syarikat koperasi pelaburan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Setiap pelaburan yang dibuat oleh KAPB juga patuh Syariah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI