Hiburan

“Sungguh Ujian Ini Berat,”- Umum Cerai, Erynne Erynna & Bekas Suami Usaha Jadi Ibu Bapa Terbaik

Share

Selepas hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Erynne Erynna memaklumkan dirinya kini sudah pun bercerai dengan suami, Muhamad Afify Sazali.

Menganggap jodoh mereka tidak panjang, Erynne atau Syazlynne Erynne Abdullah reda dengan segala takdir yang telah tertulis buat dirinya.

“Jikalau dahulu saya berkongsi berita gembira pada tahun 2019 yang saya telah berkahwin, dan kini dengan dukacitanya saya ingin memaklumkan yang saya sudah bercerai dengan bekas suami saya.

“Sudah tertulis sampai di sini sahaja jodoh kami dan inilah yang Allah takdirkan buat kami maka bercerailah kami atas izinNya,” tulisnya.

Perkara itu dikongsikan oleh ibu kepada seorang cahaya mata itu menerusi sebuah hantaran di Instagram, Ogos lalu.

Katanya lagi, meskipun ujian ini berat untuk dilalui, namun Erynne percaya perancangan Allah jauh lebih baik.

“Segala puji bagi Allah. Sungguh, ini ujian yang amat berat. Akan tetapi, Allah duga dan beri ujian pada hamba hambaNya yang Dia sayang dan tidak akan menguji hambaNya lebih dari kemampuannya,” kongsinya lagi.

Walaupun sudah membawa haluan masing-masing, pelakon filem 8 Jam ini memaklumkan dia dan suami akan sentiasa berusaha untuk menjadi ibu bapa yang terbaik buat anak mereka.

“Apapun, bekas suami saya adalah seorang bapa yang baik dan bertanggungjawab pada anak kami, Medinah.

“Kami akan cuba sehabis baik untuk menjadi ibu bapa terbaik kepada Medinah dan memberikannya kasih sayang yang selayaknya. In sha Allah,” ujarnya lagi.

Menerusi hantaran yang sama, Erynne turut merakamkan ucapan penghargaan buat suaminya diatas segala jasa sepanjang mendirikan rumah tangga.

“Kepada Muhamad Afiy, terima kasih untuk segalanya. Semoga Allah sentiasa memberikan petunjuk, memudahkan urusan, merahmati dan melindungi kamu serta keluarga.

“Doakan yang baik baik untuk kami sekeluarga ya, dan kami juga mendoakan segala yang terbaik buat semua,” akhirinya.

Terdahulu, Erynne mendirikan rumah tangga dengan Afify Sazali pada tanggal 17 April 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 4 tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Erynne Erynna

Published by
Aizam Manaf