Otai masih berbisa! Itulah ungkapan yang sesuai ditulis untuk pelakon hebat, Susan Lankester yang baru sahaja menang kategori Pelakon Wanita Terbaik di Asia Academy Creative Awards (AACA) 2024, pada Rabu lalu.
Sebelum ini, pada September 2024 beliau terlebih dahulu diumumkan sebagai National Winner sekaligus menjadi wakil Malaysia untuk kategori tersebut dan mengalahkan wakil lain dari benua Asia.
Lakonannya sebagai Aileen Choo dalam filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza yang memaparkan karakter seorang wanita yang ‘berperang’ dengan konflik keluarga dan kanser yang dihidapi.
Saat menerima trofi, pelakon berusia 62 tahun ini kelihatan tidak dapat menahan sebak atas kemenangannya.
“Terima kasih kepada AACA kerana mengekalkan anugerah seperti ini hidup untuk orang seperti kami. Terima kasih kepada barisan juri kerana melihat saya dan melihat pelakon wanita yang berusia lebih 60 tahun yang masih aktif berlakon.
“Terima kasih kepada rakan pencalonan yang lain, saya sangat bangga berkongsi pentas dengan anda. Kita harus terus berkarya dan berganding suara, terutamanya kepada wanita, kita perlu lebih watak untuk wanita,” ucapnya penuh sebak.
Selain itu, Susan turut mendedikasikan kemenangannya itu kepada pengarah filem dan juga keluarga produksi Rain Town secara keseluruhan.
“Untuk Tunku Mona, kerana mempersembahkan watak ini kepada saya. Ketika sesi audition, dia berkata kepada saya bahawa saya bukan seorang yang mencuba untuk watak tersebut, masih ada seorang lagi yang akan melalui uji bakat.
“Dia memilih saya dan kami sama-sama mencipta Aileen yang merupakan satu watak yang menakjubkan. Dan kepada keluarga Rain Town saya, kru dan para pelakon, cara mereka bekerja penuh dedikasi untuk menjadikan filem ini satu kenyataan,” kongsinya bangga dengan karya yang dihasilkan.
Sekadar info, menerusi watak yang sama, Susan juga turut menerima pencalonan dan tersenarai dalam lima calon akhir bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2024 yang bakal berlangsung Sabtu ini.