Dinobatkan selaku Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), pelakon Susan Lankester mendedikasikan kemenangan tersebut buat para pelakon wanita untuk sentiasa mengejar cita-cita dan impian.
Menurut Susan, para pelakon wanita inj juga harus lantang bersuara demi menjaga prinsip sebagai pelakon yang berkaliber.
“Saya sangat bersyukur dan rasa bertuah. Kepada semua pelakon wanita di Malaysia ketika ini, saya berharap agar mereka sentiasa percaya kepada diri sendiri dan percaya mampu pergi jauh.
“Harus bekerja keras dan lantang bersuara kalau merasakan ada perkara yang tidak betul atau mahukan perkara yang lebih baik. Saya ini seorang yang sentiasa bercakap berterus terang.
“Carilah skrip dan team produksi yang elok. Lihat saya sebagai contohnya. Sepanjang 40 tahun berkecimpung di dalam dunia seni, dalam masa seminggu, saya mendapat pengiktirafan di peringkat Asia Tenggara dan hari ini, di negara sendiri.
“Malam ini, saya seakan tidur diatas pelangi. Perasaannya sangat hebat. Saya sangat tersentuh. Namun, saya percaya masa juga memainkan peranan. Inilah waktu saya,” katanya kepada MH.
Susan berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media FFM33 yang berlangsung di Kota Media, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dalam pada itu, pelakon filem Rain Town ini juga akui teruja dengan sambutan yang ditunjukkan oleh peminat-peminat di Malaysia selepas meraih dua pengiktirafan besar dalam masa dua minggu.
“Saya sangat tersentuh dengan reaksi yang diberikan peminat terutamanya daripada Malaysia. Media Sosial saya ketika ini sedang blow up gila-gila. Ramai yang menitipkan ucapan tahniah dan meluahkan rasa bangga.
“Kata mereka, saya buat rakyat Malaysia bangga. Inilah yang rakyat kita mahukan iaitu validasi daripada pihak luar. Mereka seperti menumpang kegembiraan itu di bahu saya.
“Perasaan saya rasa sangat teruja dan rasa ingin terbang. Bila Tan Kheng Hua menangis nak menyebutkan nama saya, saya terus lega dan teruja. Memang hasrat saya nak menang dan banggakan negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Susan turut mendedahkan dia mendapat inspirasi untuk membawakan watak Aileen Choo selepas melihat perjuangan mendiang ibu dan rakan-rakan terdekatnya melawan penyakit kanser.
“Selain ibu saya, ada beberapa rakan saya turut mengidap kanser. Watak ini memang ditujukan buat semua wanita yang sedang melalui atau sudah berjaya berjuang dengan kanser.
“Pada saya mereka adalah pejuang. Ibu saya juga pejuang tapi dia sudah tua. Saya sendiri bagitahu ibu, andai dia mahu pergi, saya reda.
“Malah, saya jaga ibu saya sehingga dia menutup mata. Dia tutup mata dalam keadaan tersenyum. Saya memang jadikan dia sebagai inspirasi untuk filem ini.
“Jika anda melihat watak Aileen yang sentiasa tenang, sayang anak-anak, letak tepi masalah sendiri dan fokus kepada keluarga. Itulah ibu saya,” akhirinya.
Terdahulu, sebelum dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM33, Susan juga baru sahaja diumumkan selaku Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi Kreatif Asia 2024.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.