“Susut sangat ke?” – Sham Visa

Share

“Susut sangat ke?” Itu tanya salah seorang peserta Gegar Vaganza musim ke 6 (GV6), Sham Visa apabila ditanya mengenai keadaan fizikalnya yang dilihat sedikit kurus berbanding awal kemunculannya dalam program terbabit.

Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Sham atau nama sebenarnya, Rohisham Hashim  akui gaya hidup yang lebih sibuk sejak menyertai GV6 mungkin menjadi antara puncanya.

“Rasanya (berat badan) maintain sahaja kot. Selepas berbulan bersama GV6, kata orang ia mungkin sudah nampakkan kesannya,” katanya yang turut akui hampir sebulan berdepan dengan masalah tekak.

Bagaimanapun, keadaannya kini bertambah baik selepas mendapatkan rawatan, sebagaimana yang dicadangkan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Kami ada bertemu di belakang pentas ketika sama-sama membuat persembahan beberapa minggu lalu dan dia ada berikan cadangan ke sebuah klinik. Dia pesan berkali-kali dan saya hormatinya keprihatiannya itu.

“Pada awalnya saya terkejut juga… Tok Ti kenal saya. Siapalah saya kan? Lalu saya ke klinik sebagaimana yang dicadangkannya dan saya sekarang dalam rawatanlah,” jelasnya kepada MH.

Terdahulu, Sham berkongsi dia pernah mengalami kecederaan suara dan ia berlaku kira-kira selama enam tahun.

“Apabila ia berlaku, saya tidak pernah lakukan eksperimen sama ada suara pada ketika itu boleh diguna pakai (dalam nyanyian) atau sebaliknya.

“InsyaAllah meski ‘tona warna’ yang baru dari suara saya, saya akan tetap cuba untuk teruskan menyanyi,” jelasnya optimis.

Minggu ini pada konsert kesembilan saingan GV, Sham ditugaskan untuk mempersembahkan lagu Dari Sinar Mata yang dipopularkan oleh Bumiputera Rockers.

Foto: Instagram Sham Visa/DS Siti Nurhaliza

Published by
Rafiq Mazlan