Sweet Qismina Dikritik, Suhaimi Sulaiman Mohon Maaf Kepada Juara & Naib Juara Bintang Kecil 2023

Share

Meskipun sudah melabuhkan tirai pada Ahad, program Kemuncak Bintang Kecil 2023 masih menjadi buah mulut netizen berikutan beberapa kesilapan teknikal yang berlaku ketika acara pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah.

Menerusi sebuah video tangkap layar yang dikongsikan seorang pengguna aplikasi Tik Tok, salah seorang pengacaranya yang juga merupakan pelakon terkenal, Sweet Qismina dikatakan telah tersilap ketika mengumumkan nama pemenang bagi kategori persembahan terbaik.

@lanyishak Harap di perbaiki di masa akan datang.. #kemuncakbintangkecil2023 #tenangisgood #bahagiacarakita ♬ original sound – Lany Ishak

Kesilapan seterusnya pula berlaku ketika acara yang paling dinanti-nantikan iaitu pengumuman juara dan naib juara diantara dua peserta Kiki dan Farha.

Ketika lampu dewan dimatikan, kesemua penonton tertumpu pada spotlight bergerak yang akan dipancarkan ke arah peserta yang bakal dinobatkan sebagai juara.

Namun, spotlight tersebut dikatakan telah berhenti seketika ke arah Farha sehingga membuatkan peserta tersebut teruja lalu terduduk kerana menyangka dirinya adalah pemenang.

Bagaimanapun, para pengacara terpaksa memperbetulkan situasi tersebut dengan memaklumkan pemenang masih belum
diumumkan kerana spotlight masih lagi belum berhenti bergerak sepenuhnya.

Spotlight tersebut kemudiannya berhenti ke arah Kiki seterusnya diumumkan selaku juara Bintang Kecil 2023

Insiden tersebut nyata menimbulkan kemarahan netizen yang mengatakan pihak produksi seolah-olah mempermainkan emosi para peserta.

Terbaharu, menerusi sebuah video yang dikongsikan di laman Instagram, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman telah membuat permohonan maaf terhadap Kiki dan Farha.

Jelas Suhaimi, dia faham kesilapan tersebut telah membuatkan dua peserta berkenaan berasa tertekan.

“Assalamualaikum. Mesej ini saya tujukan khas kepada Adik Kiki dan Adik Farha yang merupakan pemenang tempat pertama dan kedua Binatang Kecil 2023 yang berlangsung semalam.

“Saya tahu perasaan Kiki dan Farha tertekan kerana format kita adalah lampu akan menyala ke atas siapa yang menang. Kiki memenangi pertandingan semalam tetapi lampu jatuh kepada Farha,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi turut menjelaskan bahawa spotlight yang sepatutnya dipancarkan ke arah pemenang telah mengalami masalah teknikal.

“Abang Azam selaku pengacara cuba untuk memperbetulkan keadaan tapi agak terlambat juga kerana lampu itu terlampau lama menyala dan tidak dapat bergerak sebab jammed pada ketika itu.

“Saya yang berada di pentas pun dapat merasakan tekanan itu. Jadi, saya memohon maaf bagi pihak RTM. Akhirnya, pertandingan ini telah pun selesai dan saya doakan Kiki dan Farha terus berjaya,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Suhaimi Sulaiman, Sweet Qismina & Tik Tok Lany Ishak

Published by
MH