Hiburan

Syafi Tee Tak Kisah Masih Dibayangi ‘Glamor’ Bapa, Simpan Hasrat Nak Jadi Penceramah

Share

Meskipun sudah hampir enam tahun bergelar anak seni, pelakon Syafi Tee akui tidak kisah sekiranya namanya itu masih lagi dibayangi populariti bapanya yang juga pendakwah terkenal, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Menurut Syafi, dia tidak berasa terbeban sebaliknya berbangga jika nama mereka dikenali kerana sebab-sebab yang baik.

“Saya tiada masalah dengan hal tersebut. Semua orang boleh dikaitkan dengan sesiapa sahaja. Pada akhirnya nanti, kita juga yang akan membawa diri kita sendiri. Tidak kisahlah siapa ibu atau bapa kita.

“Kita juga akan mati sendiri dan Allah tidak akan tanya siapa ibu bapa kita. Sejujurnya, saya tidak kisah. Saya lagi suka bila orang kenal saya dan ayah saya.

“Saya dapat rasakan ikatakan kekeluargaan itu kuat. Saya tidak kisah sekiranya orang mengenali saya melalui bapa saya,” katanya kepada MH.

Syafi berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Ofis Politik yang berlangsung di Zebra Square pada Selasa.

Dalam pada itu, pelakon berusia 31 ini turut mengakui dirinya menyimpan hasrat untuk menjadi seorang penceramah dan berkongsi pandangannya kepada umum.

Jelas Syafie, minat tersebut hadir bukan disebabkan mahu mengikut jejak langkah bapanyanya itu sebaliknya dia mahu berkongsi ilmu kepada masyarakat kerana minatnya terhadap membaca.

“Saya juga mahukan nilai tambah dalam bidang tersebut. Selain daripada menjadi seorang pelakon, saya juga mahu pandangan dan luahan saya didengari.

“Lagipun, saya suka membaca. Sudah banyak buku yang saya baca. Ada banyak perkara yang saya ingin luahkan kepada masyarakat lebih-lebih lagi tentang kesihatan mental dan fizikal, kemanusiaan dan banyak lagi.

“Saya suka membantu orang lain. Kalau, diberikan peluang, saya mahu bercakap di hadapan khalayak ramai. Saya bukan nak jadi seperti bapa saya tapi suka berkongsi buah pandangan saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Syafi turut mendedahkan dia juga ada membuat program podcast di Youtube dan berkongsi pandangan bersama ahli keluarganya.

“Saya ada buat program podcast juga. Dalam program tersebut saya ada menemu bual ayah, ibu dan orang-orang terdekat. Saya panggil mereka untuk berkongsi perkara-perkara yang susah kita nak dengar dalam masyarakat.

“Kita banyak berbincang tentang geopolitik lebih-lebih lagi tentang apa yang berlaku di Palestin dan Israel.

“Saya mulakan podcast tersebut pada tahun ini juga. Namun, bila saya sudah kembali berlakon, saya sudah jarang buat podcast. Insha Allah, bila ada kelapangan, saya akan teruskan semula,” akhirinya.

Terdahulu, Syafi merupakan antara pelakon yang membintangi drama komedi terbaharu yang berjudul Ofis Politik.

Selain Syafi, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Rashidi Ishak, Erysha Emyra dan Hafiz Halim.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf