“Syafiq Bawa Karakter Saya, Isteri Merajuk Dia Kejar,” – Yusof Haslam Kongsi Rahsia Perkahwinan Harmoni 40 Tahun

Share

Selepas genap empat dekad melayari bahtera perkahwinan, penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mendedahkan sikap pujuk memujuk merupakan aspek yang penting bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Menurut Yusof, dia tidak kisah untuk menjadi orang pertama yang memujuk dan memohon maaf asalkan isterinya, Datin Patimah Ismanil gembira.

“Datin ada beritahu, selepas dia bertemu dengan saya, kehidupan dia berubah. Begitu juga saya. Alhamdulillah jodoh saya dengan Datin kekal sehingga hari ini.

“Kehidupan berumah tangga mempunyai ujiannya yang tersendiri. Kalau nak kata fasal bergaduh, kami memang ada bergaduh. Namun, sebagai khalifah dan imam di dalam keluarga, kita kena pujuk isteri kita.

“Kadang-kala kalau isteri kita yang salah pun kita pujuk atas dasar psikologi. Rugi ke kalau kita berdamai dengan isteri? Isteri kita yang lahirkan anak-anak kita,” katanya kepada MH.

Katanya lagi, dia mempelajari hal itu daripada arwah bapanya dan kini turut menjadi ikutan anaknya yang juga merupakan pengarah terkenal. Syafiq Yusof.

“Kita tak sempurna dan isteri juga begitu. Jadi, demi mencari kesempurnaan, kita kena bertolak ansur. Syafiq pun bawa karakter saya. Bila isteri dia merajuk, dia sanggup keluar dan kejar semata-mata nak memujuk.

“Malah, kalau bergaduh dengan kawan pun, saya akan cepat-cepat berbaik. Dengan pekerja pun saya pernah marah tapi saya tidur tak lena. Keesokkannya, saya peluk dah mohon maaf.

“Sifat ini saya belajar daripada bapa saya. Bila bapa bergaduh dengan mak saya, pada waktu malam ketika solat Magrib, bapa akan punjuk mak saya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pengarah filem Gerak Khas The Movie ini juga memaklumkan dia bakal meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-40 dalam masa terdekat.

“Kadang kala bila bergaduh dengan Datin, lepas solat saya akan minta maaf dan ia akan habis di situ. Isteri yang baik, dia akan maafkan. Kalau isteri itu jahat, lain ceritanya

“Itu yang membuatkan rumah tangga saya kekal selama 40 tahun. Saya berkemungkinan akan adakan sambutan ulang tahun perkahwinan selepas sambutan Hari Raya Aidil Adha,” akhirinya.

Sekadar informasi, Yusof dan Patimah telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1982 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf