Sering diajukan soalan berkaitan peribadi, pelakon popular, Syafiq Kyle berharap agar semua pihak dapat memberikan lebih tumpuan terhadap kerjaya seninya.
Syafiq berkata, setakat ini dia mempunyai beberapa naskhah dan gemar sekiranya hal tersebut turut diberikan perhatian.
“Saya hanya ingin menyuarakan kegusaran yang saya rasa. Saya telah bekerja daripada bulan Januari sehingga September tanpa henti dan ketika ini, saya punyai lima karya yang harus dipromosikan.
“Bagaimanapun, setiap kali saya mengadakan promosi untuk karya-karya saya, ramai lebih fokus kepada kisah peribadi saya berbanding kerjaya seni.
“Namun, saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Apa yang akan berlaku pada masa hadapan, perkara tersebut pasti akan berlaku jika diizinkan.
“Jadi, saya berharap agar semua pihak dapat memberikan fokus terhadap karya-karya saya yang akan ditayangkan ini,” katanya kepada MH.
Syafiq berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Dala Siri One Cent Thief di Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.
Drama dibawah jenama Astro Originals ini diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang pernah menggemparkan Malaysia dan masih lagi diperkatakan sehingga hari ini.
Bercerita lanjut mengenai watak Iman, Syafiq mendedahkan dia harus mempelajari mengenai cara khusus menggodam dan sistem-sistem perbankkan.
“Dalam drama ini saya banyak belajar menganai menggodam dan sistem perbankkan. Jadi, ia sedikit memakan masa.
“Cara menggodam pula memang hampir sama dengan prosedur operasi standard yang digunakan oleh para penggodam sebenar cuma ada beberapa bahagian yang tidak ditunjukkan. Kalau mereka (hacker) tengok, setidaknya mereka tahu kita buat research.
“Ketika berlakon drama ini, baru saya tahu kenapa bank mengalami masalah gangguan sistem. Itu bermakna ada orang sedang cuba menggodam sistem meraka,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, bintang kelahiran program Hero Remaja 2011/12 ini teruja menantikan respons peminat.
“Saya dapat rasakan para penonton akan menyukai drama ini. Ekspektasi saya begitu. Namun, saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk drama ni menjadi fenomena. Ia tetap bergantung kepada penerimaan penonton.
“Saya juga dapat banyak feedback daripada netizen terutamanya pekerja-pekerja bank. Mereka nak tahu sangat macam mana watak Iman ni. Mereka seperti triggered dengan watak saya sebagai pekerja bank.
“Kita pun ada sentuh fasal realiti gaji mereka yang RM2000 ni tak cukup. Rupanya mereka turut bersetuju. Indah khabar dari rupa. Jadi, saya tak sabar nak tengok feedback mereka lagi selepas ini,” akhirinya.
Naskhah ini mengisahkan tentang Iman Shah yang terdesak untuk membiayai kos rawatan dan hutang ceti haram ayahnya.
Selain Syafiq, drama ini turut dibintangi barisan pelakon-pelakon hebat seperti Azira Syafinaz, Faizal Hussein, Sofia Jane, Amerul Affendi dan ramai lagi.
One Cent Thief bakal menemui penonton bermula 8 Oktober ini, setiap hari Sabtu jam 9 malam.
Penonton juga berpeluang menonton episod baru seminggu lebih awal pada Sabtu jam 12 tengah malam menerusi platform Astro Go atau On Demand.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI