Syafiq Kyle tidak bersetuju mengenai sesetengah pendapat yang mengatakan ‘saham’ atau populariti seseorang artis itu akan mulai menurun sekiranya mereka secara terbuka mengakui sudah mempunyai kekasih hati.
Malah kongsinya kepada MH, peminat sebenarnya meminati seseorang artis itu daripada pelbagai sebab dan cara.
“Rasanya saya punya peminat hadir apabila saya mempersembahkan kualiti lakonan yang baik, mungkin ada juga yang minat kerana fizikal.
“Atau mungkin kerana selepas berlaku sesuatu yang sensasi terhadap diri saya. Mungkin sebab apa saya pun tak pasti.
“Akan tetapi apa yang saya nampak, peminat yang masih setia dengan saya adalah mereka yang gemarkan lakonan saya. Merekalah yang masih ada dengan saya dari dulu hinggalah sekarang.
“Jadi pada rasanya, merekalah peminat yang berkualiti. Akan tetapi saya pun tak menafikan, mereka pun terdiri daripada peminat artis-artis lain juga,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, bintang drama bersiri, Bukan Cinta Aku di samping Janna Nick, dan Baim Wong turut menjelaskan, apa yang lebih penting adalah peminat yang mempunyai kualiti tersendiri.
“Saya ambil contoh Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kenapa orang kata dia nombor satu, sebab dia ada kualiti dan begitu juga dengan para peminatnya.
“Lalu apa yang saya minta peminat lakukan ialah semoga mereka hargai saya punya kerja. Tetapi dari segi mereka untuk tahu perihal kisah peribadi, rasanya saya perlu juga berikan kerjasama dengan orang yang meminati saya.
“Cuma apa yang boleh kongsi mengenai kisah peribadi, hanya setakat itu sahajalah sebab saya pun tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” terangnya lagi.
Syafiq berkata demikian sebagai menjelaskan perihal hubungannya sama pelakon yang kian meningkat naik namanya, Mimi Lana.
Bintang cantik tinggi lampai itu turut sama terlibat di dalam Bukan Cinta Aku, mendukung peranan sebagai Qisha selain berganding sama menerusi filem Pusaka.
Foto: Instagram Syafiq Kyle