Syafiq Yusof Tak Jumpa Ira Kazar, Percaya Abang Mampu ‘Handle’ Keadaan

Share

Pengarah yang juga adik kepada Syamsul Yusof, Syafiq Yusof, 31, mengakui sehingga sekarang tidak pernah bertemu dengan isteri kedua abangnya, Ira Kazar.

Menurut Syafiq, dia juga tidak mengetahui sama ada ibu dan bapanya iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail ada bertemu dengan wanita tersebut atau sebaliknya.

“Saya tak ada jumpa dia. Saya tak pasti ibu ayah juga begitu. Saya sebenarnya, kalau boleh, hal keluarga biarlah kekal hal sebagai hal peribadi keluarga.

“Tetapi saya faham, bapa saya dan kami ini adalah keluarga seni jadi kami terpaksa terima bila jadi perhatian.

“Tetapi, sesiapa pun boleh fikir waras dan boleh tahu bahawa tak semua perkara dalam internet itu benar. Ada yang bercampur baur, malah kebanyakannya mungkin fitnah,” katanya.

Syafiq mengakui tidak mencampuri urusan rumah tangga abangnya yang kini menjadi kontroversi kerana tidak duduk serumah dan jarang berjumpa.

“Masing-masing sibuk dan dia pun ada banyak filem besar. Kali terakhir kaki berjumpa adalah pada hari raya tahun lepas. Tetapi, perbualan lebih kepada filem dan projek baharu.

“Kami bercakap di telefon pula sekitar dua bulan lalu tetapi sama ada berkaitan hal kerja atau peribadi, biarlah saya simpan sendiri,” katanya.

Mengenali abangnya, Syafiq percaya Syamsul seorang yang tabah meskipun sedang berdepan dengan ujian atau masalah.

“Mengenali abang saya, dia seorang lelaki yang tabah seperti ayah kami. Apa sahaja masalah, kerja dia mesti siap dan saya percaya dia mampu kendalikan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Syafiq berharap netizen dan orang ramai berhenti daripada terus mencetuskan spekulasi tidak benar yang memburukkan lagi keadaan tentang keluarganya.

“Paling utama, saya harap netizen tidak buat andaian yang bukan-bukan. Selain itu, saya harap isu ini selesai cepat dan tak nak hal peribadi keluarga ini terus menjadi bualan ramai.

“Tiada apa yang saya dapat katakan. Cuma, mahu mendoakan kebahagiaan dan ketenangan ibu bapa dan keluarga. Saya tak masuk campur namun sebagai adiknya, saya tetap doakan kebahagiaan dan ketenangan Syamsul dan keluarga,” katanya.

Kisah pergolakan rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah Liyana terus diperkatakan ramai apabila kedua-duanya dilihat saling berbalas kenyataan di media sosial.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul mengejutkan ramai apabila mendedahkan sudah berkahwin buat kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand, berwalikan bapanya, pelakon veteran, Kazar Saisi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik Di Sini

Published by
Juliana Johar