Apa sahaja yang dimuat naik pelakon Puteri Sarah Liyana pastinya mendapat perhatian daripada peminat serta para netizen lebih-lebih lagi selepas diduga dengan konflik perkahwinan dengan pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof.
Terbaharu, Puteri Sarah yang kini sedang berada di Madinah bagi mengerjakan ibadah umrah sempat mengemas kini perkembangannya bersama anak-anak di sana.
Menurut Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, anak sulungnya iaitu Syaikhul Islam, 6, berada dalam keadaan kurang sihat sebaik mereka menjejakkan kaki ke kota Madinah pada petang Khamis.
“Ujian Allah, abang Syaikhul demam dalam perjalanan ke sini. Doakan Syaikhul Islam sihat ya.
“Abang demam bukan sebab makan ais krim banya tau, pandai je Sumayyah ni,” tulis Sarah menerusi sebuah hantaran video di laman Instagram anaknya, @syaikhulsumayyahofficial.
Sementara itu, Sarah turut berkongsikan gambar terbaharunya lengkap berjubah dan berniqab rona hitam beserta kapsyen ringkas, ‘tenang’.
Menerusi ruangan komen, ibu mentuanya, Datin Patimah Ismail mengucapkan syukur Alhamdulillah dengan ketenangan yang diperoleh menantunya sepanjang berada di tanah suci.
Netizen juga turut mendoakan agar segala urusan Sarah dan anak-anak dipermudahkan sepanjang berada di sana.
“Tutup cerita duka, InsyaAllah Allah gantikan dengan kegembiraan. Amin.
“Mata merah. Hanya Dia yang mengetahui. Hanya Dia tempat berserah. Moga baik-baik saja.
“Alhamdulillah, semoga dipermudahkan dan mendapat umrah yg mabrur, amin.
“Masha Allah.. TabbarakAllah.. Semoga dikurnia umrah mabrur. Bertabahlah wahai hati.. BarrakAllahumma Amin.
“Semoga Puteri Sarah mendapat ketenangan apabila hampir dengan Rasul Allah dan singgah di taman syurga Raudah yg dirindui umatnya,” komen sebahagian netizen.
Sarah mengerjakan ibadah umrah bersama kedua-dua anaknya, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.