Pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur pada Khamis untuk sebutan kes nusyuz yang difailkan terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana pada 21 Mac lalu.
Syamsul yang memakai baju-T dan blazer berwarna biru tiba pada jam 9.10 pagi dengan diiringi peguam, Azmi Mohd Rais.
Kira-kira 20 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan kes bapa kepada dua cahaya mata itu.
Syamsul ditemui berkata kehadirannya hari ini untuk menyelesaikan permasalahan rumah tangga yang berlaku selama ini.
“Doakan yang baik-baik, saya pun tak nak cakap banyak.. di bulan Ramadan ini,” katanya kepada MH.
Sementara itu, Puteri Sarah tidak hadir dan diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Terdahulu, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac lalu dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.
Selain itu, antara alasan yang dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014.
Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan dua cahaya maya iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.