Berita

Syamsul Yusof Minta Tunggu Keputusan, Ira Kazar Hanya Lirik Senyuman Tiba Di Mahkamah

Share

Pengarah dan pelakon sensasi, Syamsul Yusof dan isteri, Ira Kazar hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, Selangor, bagi sebutan kes pengesahan lafaz cerai taklik, hari ini.

Syamsul yang hadir pada jam 9.05 pagi tadi dengan persalinan serba hitam berkata dia meminta jasa baik rakan media untuk menunggu keputusan mahkamah.

“Saya baik, alhamdulillah. Komen saya, kita tunggu selepas ini. Kita tunggu selepas ini,” katanya ringkas.

Syamsul turut meluahkan perasaan rindu pada pihak media sebelum berlalu memasuki dewan bicara.

“Rindu kalian semua,” katanya lagi.

Sementara itu, Ira yang hadir lima minit kemudian tidak memberikan apa-apa komen sebaliknya hanya tersenyum.

Peguam syarie mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais berkata hari ini akan berjalan kes pengesahan lafaz cerai taklik yang difailkan oleh Ira Kazar.

“Pihak sana serahkan saman pada pihak kami pada 28 Ogos lalu.

“Ira failkan kes cerai taklik ini dua hari selepas kami failkan kes cerai di Mahkamah Syariah Gombak Timur.

“Terdahulu, Ira failkan kes ini pada 21 Ogos lalu,” katanya.

Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak turut hadir.

“Hari ini sebutan pertama untuk lafaz cerai dan saya difahamkan hari ini akan ada siasatan dan keputusan bergantung kepada mahkamah. Kedua-dua pihak akan hadir,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Terdahulu, Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

Susulan itu, pelakon Puteri Sarah Liyana pada ketika itu sebagai isteri Syamsul nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH