Tahniah diucapkan buat pelakon, pelawak dan ahli perniagaan, Syanie Hisham, 47, yang telah selamat melangsungkan pernikahannya dengan perunding kewangan, Zahril Hafiz Mohammed Nor, 41, kira kira jam 9 pagi tadi.
Lebih setahun berkenalan, majlis pasangan raja sehari itu berlangsung dalam suasana ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Menurut Syanie, majlis itu hanya disaksikan bapa, adik perempuannya dan abang kepada pengantin lelaki.
Tiada wang hantaran diserahkan, sebaliknya hanya mas kahwin dalam bentuk gelang emas.
Syanie pula hanya menyarungkan cincin ke jari manis suaminya sebagai tanda termeterai ikatan
“Alhamdulillah majlis pagi tadi berjalan sempurna seadanya. Sepatutnya kami merancang mengadakan majlis keraian pada 21 Februari ini, namun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan mendorong kami menundanya dulu.
“Mungkin bulan depan majlis keraian itu akan dianjurkan,” katanya
Menurut Syanie bukan mudah untuk dia membuka lagi hati selepas dua kali perkahwinan yang dibina terlerai.
“Namun keikhlasan dan kejujuran hatinya membuka hati saya untuk kembali menikmati kemanisan ini. Ikutkan dia mula mendekati saya sejak tiga tahun lalu. Ketika itu, saya fikir belum masanya cari pengganti.
“Pengajaran lalu, mematangkan saya. Tapi setahun lalu, dia bersungguh sungguh mahu memancing hati saya. Pada Jun tahun lalu, dia suarakan isi hati kepada ibu untuk memperisterikan saya.
“Sikap budimannya juga antara sebab yang buat saya tersentuh. Dia menjadi lelaki pertama yang berani cakap nak kahwin dengan saya dekat ibu,” katanya.
Syanie yang sebelum ini sudah lima tahun hidup solo turut mendedahkan, suaminya juga bergelar duda tiada anak.
“Mungkin masing masing tahu kehidupan lampau bagaimana dilalui kami. Jadi mungkin itu yang buat kami jadi klik,” katanya yang anggun mengenakan persalinan ilham pereka Kay Ibrahim.
Bekas peserta MasterChef Selebriti musim kedua itu mendirikan rumah tangga 1996 dan bercerai pada 2002.
Seterusnya dia berkahwin buat kali kedua pada 1 Mac 2014, namun berpisah pada 2016.
Foto: TheLane.my