Baru-baru ini pelakon dan usahawan, Syatilla Melvin telah pun bersetuju menjalinkan kerjasama dengan pengasas LB Creuset bagi melancarkan produk masakan utara, Nasi Daging Telentang yang kini kian mendapat tempat.
Menurut Syatilla, projek ini bukanlah satu usahasama yang biasa kerana dia juga mempunyai misi yang tersendiri untuk dilaksanakan.
“Apabila pihak LB Creuset mengajak saya untuk berkerjasama, saya terus terfikir untuk tidak menggunakan hasil keuntungan ini untuk diri saya semata-mata.
“Saya dah ada sumber pendapatan yang lain terutamanya dari bisnes saya untuk menampung hidup.
“Bila peluang seperti ini hadir, saya ingin memanfaatkannya untuk orang lain. Saya hanya sebagai platform.
“Saya mahu orang yang gunakan platform saya untuk raih pahala. Saya dapat pahala anda pun dapat pahala,” katanya kepada MH.
Isteri kepada aktor, Shaheizy Sam itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran LB Creuset X Syatillah Melvin Nasi Daging Telentang di Eastin Hotel, Petaling Jaya pada Rabu.
Katanya lagi, segala hasil keuntungan daripada projek usahasama ini akan didermakan untuk menampung dana membina sebuah masjid di Sungai Siput, Perak.
“Soal masjid ini pula, saya rasa memang rasa bertuah kerana salah seorang ahli keluarga saya dia memang menuntut di sekolah pondok di sana. Keadaan di sana amat sederhana.
“Suraunya pula sangat kecil dan tak mampu untuk menampung anak-anak tahfiz serta penduduk kampung di sana. Bila masyarakat sana ada niat nak bangunkan masjid, projek terpaksa ditangguhkan kerana kekurangan bajet.
“Mereka juga dah buntu walaupun dah iklankan dibeberapa tempat, masih tiada orang yang tolong. Bila saya dapat tahu, saya rasakan saya boleh tolong. Orang kenal saya, kenapa pula saya tak nak gunakan kesempatan ini untuk tolong orang.
“Dengan niat ini, saya tidak akan ambil satu sen pun. Sebenarnya itu bukan duit saya tapi duit mereka yang membeli produk ini.
“Walaupun sepatutnya jadi hak saya, saya nak serahkan semuanya di sana supaya sebelum tahun 2021 masjid ini dapat disiapkan,” jelasnya lagi.
Pada majlis tersebut, pihak LB Creuset turut melancarkan ‘pakaging’ terbaru edisi Ramadan. Nasi Daging telentang ini disediakan sendiri menerusi air tangan pengasasnya, YM Syed Haniff dan Leon Puung.
Nasi Daging Telentang boleh dipesan menerusi agen-agen berhampiran meliputi kawasan di seluruh semenanjung Malaysia.
Bersempena bulan Ramadan, pihak LB Creuset turut menawarkan promosi untuk Combo Pack Family Telentang dengan harga RM88 (4pax) manakala Individu Telentang Pula berharga RM22 (1pax).
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI