Berita

Syeikh Rohimuddin Mahu Lahirkan Ulama Berkualiti & Bukan Pendakwah Selebriti, Usaha Kumpul Dana RM15 Juta Kembangkan Madrasah

Share

Pengasas Pondok Model Nusantara Al Isyraq (PMNI), Syeikh Rohimuddin menjelaskan dia tidak menggalakkan anak didiknya untuk bergelar pendakwah selebriti sekiranya tamat pengajian kelak.

Menurut Syeikh, PMNI yang terletak di Kuala Selangor itu bertanggungjawab melahirkan pendakwah yang mempunyai fokus sepenuhnya kepada agama, bangsa dan negara, bukannya mengejar populariti.

“Pada pendapat saya, mahu bergelar pendakwah atau pendakwah selebriti, bergantunglah kepada niat masing-masing. Di PMNI, kami tidak akan mendidik para pelajar madrasah ini ke arah menjadi pendakwah selebriti. Galakan atau seruan ke arah itu, tidak pernah ada dalam perancangan kami.

“Biarlah pendakwah yang dilahirkan dari PMNI ini memberi fokus untuk berkidmat kepada agama, umat, bangsa dan negara, di mana peranan itu lebih berguna dan bermanfaat,” katanya.

Syeikh berkata demikian apabila diajukan media soalan tentang situasi segelintir pendakwah selebriti yang terpalit dengan kisah kontroversi.

Bagi Syeikh, adalah menjadi pendakwah selebriti adalah perkara yang patut dihindari oleh para pelajar PMNI kerana ia boleh mengundang kepada tanggapan negatif kepada agamawan apabila terpalit dengan pelbagai isu kontroversi yang menjadi bualan rakyat dan netizen.

“Bagi saya, jadi pendakwah yang dalam masa yang sama menjadi selebriti popular itu adalah perkara pertama yang patut dihindari bagi para pelajar madrasah ini.

“Saya nak sebut kata-kata ini, ‘tanamlah benih pokok itu dalam-dalam (jangan suka diangkat-angkat), dia akan menumbuhkan pokok yang tinggi, rendang dan buahnya lebat.

“Memang kita tanam dalam-dalam kerana kita mahu matikan keinginan untuk menjadi popular. Ini bererti, kita ajarkan mereka menyiapkan diri, jiwa, ilmu yang mendalam, akhlak yang kuat. Perihal itulah maksud benih yang menghasilkan pokok yang tinggi, rendang dan mempunyai buah yang lebat.

“Segelintir (bukan semua) pendakwah selebriti itu hanya pandai bercakap tetapi tak ada ilmu, tak ada akhlak,” ujarnya yang turut giat usaha cari dana demi keselesaan dan keberkesanan institusi madrasah yang dibangunkan.

PMNI kini dalam usaha untuk membina bangunan baharu yang dianggarkan bernilai RM 15 juta dan bangunan baharu PMNI ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang mengambil kira kemodenan dan kesesuaian seperti kelas, kompleks surau, asrama dan kelengkapan yang berkaitan.

“Kami di PMNI mempunyai tujuan untuk melahirkan generasi yang dapat hidup di zaman ini (serba moden dan rencam) dengan penuh keseimbangan dari segi zahir, batin dan akal. Inilah yang kebisaaannya dimahukan oleh para ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sini.

“Sebenarnya pengajian ini mampu diterapkan dalam jiwa para pelajar di mana walaupun sepatutnya tempoh pembelajaran adalah 15 tahun tetapi dapat dipendekkan menjadi lima tahun dengan kaedah pembelajaran yang terkini dibantu dengan segala teknologi-teknologi yang serba canggih.

PMNI sudah laksanakannya dari 2020-2024 sebagai projek perintis, dan kumpulan tersebut mendapat pujian yang tinggi dari pelbagai ulama’ dengan pelbagai latar belakang serta mereka sekarang sudah berada di Mesir menyambung pengajian peringkat tinggj.

“Demi melahirkan para pelajar yang berkualiti, sudah tentu PMNI memerlukan tempat belajar dan penginapan yang lebih selesa. Ia juga amat dituntut dalam Islam.

“Mudah-mudahan, bangunan baharu nanti membolehkan kami menambah bilangan pelajar dalam masa yang sama mengutamakan kualiti dalam diri mereka.

“Semoga dengan tajaan atau sumbangan pihak luar sana, sedikit sebanyak boleh membantu mendirikan bangunan baharu PMNI dalam jangkaan masa lima tahun,” katanya lagi.

Terdahulu, PMNI yang ditubuhkan sejak 2020 dengan aliran Tahfiz-Alim-Akhlak bertujuan untuk meramaikan lagi generasi ulama’ yang mampu memimpin diri dan masyarakat serta generasi demi generasi khususnya di Nusantara.

Hala tuju Pendidikan PMNI terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Pra-PMNI, Pengajian PMNI dan Kuliah Al Isyraq yang mengambil tempoh pengajian selama 8 tahun ini sedang dilalui oleh seramai 23 orang pelajar.

Mereka kini diasah dengan Asas Bahasa Arab, pemantapan hafazan Al Quran, hadis, matan asas dan pembentukan adab dan sudah ada 5 orang pelajar generasi pertama sedang menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Untuk makluman, Program Pendidikan Berkebajikan PMNI telah dilancarkan pada bulan Mei 2023 di mana pihak kami memberi peluang kepada masyarakat awam untuk menaja pengajian pelajar-pelajar yang kesemuanya adalah terpilih untuk mengikuti Manhaj Pendidikan Al Isyraq sehingga tamat.

Ini adalah kerana PMNI bukan hanya berfungsi sebagai sebuah institusi Pendidikan, bahkan satu ekosistem untuk memurnikan sistem Pengajian Pondok alam Melayu yang diharapkan akan memberi manfaat berterusan untuk ummah.

Malah pihak PMNI turut membuka ruang kepada sesiapa untuk berinfaq dan boleh mengetahuinya lebih lanjut menerusi media sosial rasmi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

 

Published by
MH