Tahniah diucapkan kepada pasangan pelakon Ezzaty Abdullah, 34, dan suaminya, Azwan Kombos, 39, yang baru sahaja menimang cahaya mata ketiga mereka, semalam.
Berita gembira itu dimaklumkan Ezzaty menerusi hantaran foto dirinya bersama tiga anaknya di Instagram miliknya.
Memanjatkan rasa syukur atas kelahiran bayi lelaki, pelakon drama Rahimah Tanpa Rahim turut memaklumkan dia dan bongsunya itu kini berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah, dengan mengambil berkat bulan kelahiran Rasulullah, pada 21 Rabiul Awal 1446H bersamaan 26 September 2024.
“Pada jam 11.29 pagi, baby boy kami telah selamat dilahirkan. Baby dan saya dalam keadaan sihat. Terima kasih kepada yang mendoakan kami,” tulisnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet rakan selebriti mengucapkan tahniah kepada Ezzaty dan Azwan di atas kehadiran cahaya mata pelengkap keluarga bahagianya.
Imbas kembali, Ezzaty dan Azwan mendirikan rumah tangga pada 16 Julai 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka sebelum ini turut dikurniakan dua cahaya mata iaitu Harum Dalia, 7 dan Ahmet, 3.