Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 50, mengumumkan dia dan isteri, Datin Dr Halina Mohd Yunos, 41, bakal menimang cahaya mata ketujuh.
Berita gembira itu diumumkan Dr Sheikh Muszaphar menerusi laman Instagram miliknya pada pagi Jumaat dengan berkongsikan video dia memberitahu perkara itu kepada keenam-enam anaknya tentang kehadiran adik baharu mereka nanti.
“Alhamdulillah, syukur sangat. Semua orang gembira, semoga dipermudahkan. Amin,” tulisnya ringkas di ruangan kapsyen.
Rata-rata netizen terhibur melihat gelagat anak-anak pasangan itu ketika mendengar perkhabaran tersebut lebih-lebih lagi anak bongsu mereka, Sophea Emilia yang seolah-olah ‘tidak rela’ bakal kehilangan gelaran anak bongsu yang dipegangnya selama ini.
Dr Sheikh Muszaphar sebelum ini pernah menyatakan hasrat ingin menimang ramai cahaya mata agar dapat memeriahkan lagi rumah tangga yang dibina bersama isteri tercinta.
“Saya seorang yang sukakan kanak-kanak. Ada kelebihan memiliki anak yang ramai walaupun sukar untuk menjaga mereka sekarang (semasa kecil). (Tapi) bila mereka sudah besar nanti, anak-anak boleh menghilangkan kesunyian apabila kami sudah tua,” katanya.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.
Hasil perkahwinan, Dr Sheih Muszaphar dan isteri dikurniakan enam cahaya mata iaitu Sophea Isabella, 10, Sophea Natasha, 8, kembar lelaki, Sheikh Adam dan Sheikh Noah, 4, serta sepasang lagi kembar, Sheikh Eusoff dan Sophea Emilia yang kini berusia 2 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Datuk Dr Sheikh Muszaphar