Pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein yang kini sarat hamil enam bulan mendedahkan dia bakal melakukan ujian magnetic resonance imaging (MRI) bagi mengetahui dengan lebih jelas perihal status kesihatannya ketika ini.
Menerusi hantaran terkini yang dimuat naik di Instagram petang Ahad, penyanyi Bungaku Bakawali ini memaklumkan dia mempunyai masalah pada bahagian belakang.
Bagaimanapun, keadaan bayi yang dikandung berada dalam keadaan baik.
“Untuk kesayangan semua, kakak Lina (Elly) sihat, cuma Kak Lina ada masalah bahagian belakang. Alhamdulillah sekarang sudah boleh gerakkan badan.
“Sekejap lagi buat MRI. Tadi ‘check’ Baby Megat, alhamdulilah baby sihat (6 bulan),” tulisnya.
Dia pada masa sama turut meminta ramai mendoakan kesembuhan buat rakan penyanyi, Siti Sarah.
Majlis bacaan Yaasin dan doa buat isteri kepada Shuib itu bakal dilakukan secara virtual jam 9.00 malam ini.
“Malan ini ada bacaan Yaasin dan doa buat Sarah dan semua yang terkesan akibat Covid-19 melalui Zoom Meeting, sama-sama berdoa ya kesayangan.
“Sarah, Jan (Elly) doa dari hospital ya, tak dapat nak sertai. Jan sentiasa ingat Tasya (panggilan buat Sarah), love you Tasya.
“Teruskan dia buat Sara ya, terima kasih semua,” tulisnya lagi.