Dua belas buah lagu yang layak bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) sudah pun diketahui malam tadi dan daripada jumlah itu, tiga karya ciptaan bersama penyanyi dan komposer, Hael Husaini berjaya mara anugerah muzik tahunan itu.
Kesemua lagu yang layak diumumkan sejurus saingan Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam yang bersiaran langsung di TV3 oleh hosnya, Sherry Al Hadad dan Haziq Hussni.
Tiga lagu terbabit adalah Belenggu Rindu yang dicipta Hael bersama Ezra Kong dendangan Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita.
Seterusnya, lagu Peluang Kedua ciptaannya juga berjaya mara ke AJL35 dan malam tadi, Hael menyanyikan lagu tersebut menggantikan Nabila Razali.
Hati yang dicipta Hael bersama Ezra menjadi lagu ketiganya yang mara ke AJL35.
Sementara itu, dua lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza yang didendangkan penyanyi lain turut berjaya iaitu 7 Nasihat nyanyian Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta serta Aku Bidadari Syurgamu ciptaan Ippo Hafiz dendangan Aishah.
AJL 35 dijadualkan akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, 7 Februari depan.
Tujuh lagu lain yang turut berjaya lolos dan meneruskan saingan ialah Semalam ciptaan dan nyanyian Aina Abdul, Hutang dendangan Floor 88 ciptaan Zai Hamzah dan Achoi serta Kau Sakiti, dendangan Amir Masdi yang dicipta Faizal, Mike, Ezra, Romeo dan Mage.
Single terbaru Kaka Azraff, Gila turut berjaya ke AJL tahun hadapan bersama-sama lagu Gundah (Ernie Zakri ciptaan Ernie Zakri dan Sharon Paul); Eh (Zizi Kirana ciptaan Zizi, Navigator dan Mambang) serta Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter ciptaan Dark).
Terdahulu, dua episod SFMM35 berlangsung pada 20 dan 21 November lalu dan puluh lagu hasil undian peminat melalui carta Muzik Muzik 35 bersaing pada SFMM35.
Juri profesional terdiri daripada komposer Ajai, Edrie Hashim, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, Fauzi Marzuki, AG Coco dan Azmeer yang bertindak sebagai ketua juri.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI