Ceria Megastar Akhir malam tadi menyaksikan Kowachee, 11, muncul juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 berserta trofi.
Bintang cilik ini turut memenangi baucar bernilai RM1,000 tajaan Legoland dan pingat ‘star of the Week’.
Remaja kelahiran Selangor itu mempersembahkan tarian memukau menerusi lagu Tokyo Drift dan Dhoom yang dilakukan secara remix.
Tempat kedua dimenangi Nana yang menyampaikan lagu Say Something ( A Great Big World ft. Christina Aguilera) dan Roar (Katty Perry).
Penyanyi berusia 14 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi.
Tempat ketiga pula dimenangi Adinda yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi kemenangan.
Ija, diumumkan sebagai pemenang tempat keempat, membawa pulang trofi bersama wang tunai RM5,000.
Bersiaran selama lapan minggu, Zizan Razak dan Ernie Zakri bertindak sebagai juri profesional sementara Datuk AC Mizal diundang sebagai juri jemputan di malam final.
Sebanyak 60 peratus keputusan daripada juri profesional sementara 40 peratus pula ditentukan oleh undian peminat.
Pentas akhir Ceria Megastar yang dihoskan Nabil Ahmad bersiaran secara langsung di Astro Ceria (611), Astro Ceria HD (631) yang turut ditayangkan serentak di Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).