Ibu kepada pemilik nama terpanjang di Malaysia, Nurul Huda Arifin, 32, memberitahu, dia tidak kisah mengenai pandangan orang ramai mengenai nama anak kerana baginya, hanya keluarganya sahaja yang faham mengapa nama tersebut diberikan.
“Saya tidak kisah apa orang nak kata dekat nama anak saya, kerana hanya keluarga kami yang faham kenapa nama itu diberikan,” katanya seperti yang dipetik Astro Awani.
Tambah Nurul Huda lagi, pemilihan nama “Princess Aura Nurr Emmily Amara Auliya Bidadari Nwal El Zandraatau” atau lebih mudah disapa “Princess Aura” dipersetujui bersama suami ketika anaknya itu masih dalam kandungan lagi.
Malah katanya juga, nama tersebut diberi sempena nama salah seorang Wali Songo.
“Asalnya nama ini kami dapat sebab kami sering ke Indonesia atas urusan tugas. Kami sering ke Gunung Jati di Cenibon, jadi dari situ kami dapat inspirasi untuk letak nama anak kami dari asalnya nama seorang wali Allah di sana yang bernama Sheikh Sharif Hidayatullah Aulia Maulana Sultan Hasannudin.
“Malah bukan Princess Aura sahaja yang mempunyai nama terpanjang di dalam keluarganya, bahkan dua daripada empat adik beradik lain turut memiliki nama panjang dan unik,” kata Nurul Huda.
Anak ketiga pasangan tersebut diberi nama Princess Amanda Aulia Sofia Nurr Jelita, 3, manakala anak keempat Prince Muhammad Ahmad Ashrofi Aulia Alfarezel Rasya Sidra, 2.
Pada masa sama, ibu kepada lima anak ini turut menjelaskan, dia tidak mempunyai masalah untuk mengingati kesemua nama anak dan menegaskan jika ada rezeki lagi, nama unik dan panjang yang dimulakan dengan Prince dan Princess bakal diberikan kepada anak yang lain.
“Yang pertama anak saya Muhammad Rayyan Dinzly, yang kedua Nur Raynia Isabella, ketiga Princess Amanda Aulia Sofia Nurr Jelita, yang keempat Prince Muhammad Ahmad Ashrofi Aulia Alfarezel Rasya Sidra, dan kelima Princess Aura Nurr Emmily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zandra,” kongsinya.
Sementara itu, suaminya Mohd Sufian Mohd Salleh berkata anak-anaknya tiada masalah di sekolah dan rakan-rakan anaknya boleh memanggil mereka dengan nama yang ringkas seperti Prince dan Princess.
“Paling mudah boleh panggil Prince Muhammad, boleh panggil Princess Amanda, boleh panggil Princess Aura… takda isu, insya-Allah.
Sebelum ini berita tersebut yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara bahawa nama adik Princess Aura Nurr Emmily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zandra sebagai nama terpanjang di Malaysia mencetuskan buah mulut di kalangan netizen.
Sekali gus, ia turut mendapat reaksi yang pelbagai.
Sumber/ Foto: Astro Awani/Twitter.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI