Pasangan penyampai berita TV3, Asrul Nizam Kadir dan isterinya, Ezreen Aamir Hamzah bakal menimang cahaya mata pertama mereka sekitar Ogos depan.
Berita tersebut dikongsikan mereka menerusi Instagram masing-masing.
Berkongsi berita gembira tersebut dengan lebih lanjut, Asrul ketika dihubungi MH memberitahu isterinya kini sedang hamil dua bulan.
“Baru dua bulan, sebagai bakal bapa saya harap semuanya berjalan dengan lancar, tiada dugaan yang berat-berat. Semoga cahaya mata yang bakal dilahirkan juga sempurna dan sihat, InsyaAllah,” katanya.
Menyifatkan zuriat cahaya mata sebagai rezeki dariNya, Asrul juga mengakui setakat ini isterinya tidak mengalami sebarang alahan teruk.
“Setakat ini, semuanya okay saja. Tidak banyak ragam cuma keadaannya yang pening itu biasalah, malah selera makannya pun tak berapa,” terangnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Asrul dan isteri masih lagi bersiaran seperti biasa menerusi stesen televisyen swasta berkenaan.
“Saya masih dengan tugas hakiki iaitu sebagai penerbit serta penyampai berita di TV3, cumanya sebagai pembaharuan, saya akan lebih kerap ke udara bersama rakan penyampai baru,” kongsi Asrul.
Foto: Instagram Asrul dan Azreen