Pelakon dan penyanyi, Sasha Saidin mendedahkan dirinya bakal bakal mendirikan rumah tangga bersama seorang lelaki berstatus duda yang dikenali sebagai Mr W, awal tahun depan.

Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan ketiga bintang ini selepas bergelar ibu tunggal sejak lapan tahun lalu.

Lapor Harian Metro, pasangan ini merancang untuk mengadakan majlis pernikahan yang ringkas di ibu kota.

“Butiran pernikahan belum ditetapkan lagi memandangkan banyak perkara perlu diuruskan terlebih dahulu. Buat masa ini, saya yang uruskan kerana bakal suami bekerja di luar negara.

“Memandangkan ini perkahwinan ketiga saya dan dia, jadi majlis pernikahan nanti ringkas sahaja. Tak sangka pula ramai sudah hidu dan bertanya mengenainya,” kata Sasha seperti yang dipetik.

Pada masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu juga akui terkejut apabila ada beberapa pihak menyampaikan hasrat untuk menaja hari bahagianya nanti.

“Sudah semestinya saya dan bakal suami terharu dengan tawaran tak disangka ini. Kami terbuka, mana tahu boleh adakan majlis resepsi nanti,” jelasnya lagi.

Berkongsi lanjut mengenai perancangannya selepas mendirikan rumah tangga kelak, Sasha menjelaskan dirinya juga akan berpindah ke Timur Tengah sejurus bergelar isteri.

“Sebagai isteri saya kena kenalah ikut suami. Namun, itu tidak bermakna saya akan meninggalkan kerjaya seni.

“Saya akan berulang-alik pulang ke tanah air bagi memenuhi tawaran kerja di sini.

“Dalam masa sama, saya akan mencari peluang mengembangkan karier di sana terutama dalam bidang peragaan. Apapun, keluarga akan jadi keutamaan saya nanti,” akui anggota kumpulan Elite ini.

Untuk rekod, Sasha pernah mendirikan rumah tangga bersama Johan Abdullah Skinner pada 2003 tetapi berpisah bercerai empat tahun kemudian. Pada 2007 pula, dia berkahwin dengan Salyo Priyanto, seorang warganegara Indonesia.

Bagaimana pun jodoh keduanya tidak panjang dan bercerai pada 2012.

Hasil perkahwinan dengan Salyo, keduanya dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono yang kini berusia 10 tahun.

Sumber/Foto: Harian Metro/Instagram Sasha Saidin