Tahniah! Siti Umum Kini Hamil 4 Bulan

Share

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengesahkan kini hamil empat bulan.

Berita gembira tersebut dimaklumkan penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu menerusi satu hantaran di Instagram, hari ini.

Sambil menzahirkan rasa syukur, Siti menerusi ruangan kapsyen turut menjelaskan dirinya sedia berkongsi mengenai perkara tersebut apabila sudah tiba masa sesuai.

“Alhamdulillah. Hari ini 1 Disember 2020, saya dan suami membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang sudah pun berusia 4 bulan.

“Tiada niat untuk berdiam diri selama beberapa bulan ini namun saya dan suami berfikir, apabila tiba waktu yang sesuai, kami tetap akan berkongsi berita ini dengan semua, terutamanya keluarga, saudara mara, sahabat handai, para peminat dan sesiapa sahaja yang mengenali kami,” tulisnya.

Siti pada masa sama turut meminta ramai untuk mendoakan kesejahteraannya dan bayi yang dikandung.

“Saya memohon doa kalian supaya saya dan bayi di dalam kandungan diberikan kesihatan, dipermudahkan hari-hari saya ke depan ini sehinggalah saat melahirkan nanti.

“Terima kasih sekali lagi kepada kalian yang sangat memahami dan tidak putus mendoakan saya selama ini. Saya amat bersyukur di atas kurniaan Allah ini, anugerah yang sangat berharga kerana saya diberi peluang untuk hamil selepas Siti Aafiyah berusia dua tahun lebih.

“Alhamdulillah. Terima kasih semua dan doakan saya ya!,” titip penyanyi nombor satu ini.

Imbas kembali, Siti dan suaminya, Datuk Khalid Muhd Jiwa dikurniakan cahaya mata perempuan pada tahun 2018 melalui persenyawaan in-vitro (IVF).

Published by
MH