“Tahu Dia Ada Sakit Batuk, Tapi Saya Ingat Cuma…,” – Sebak Nikki Cerita Kehilangan Arwah Yanie

Share

Penyanyi, Nikki Palikat mengakui terkesan atas pemergiaan sahabat baiknya, Allahyarham Yanie yang juga merupakan penyanyi lebih 12 tahun lalu.

Akui Nikki, dia menyesal kerana sebelum ini kurang mengambil berat perihal kesihatan arwah penyanyi kelahiran program realiti nyanyian Mentor musim pertama itu.

Dedahnya lagi, dia sudah maklum arwah sudah terlalu lama mengalami masalah batuk berpanjangan, sebelum ini.

“Saya tak sempat nak ucap selamat tinggal dekat Yanie dan waktu yang dia tengah sakit teruk tu saya sangat sibuk sampai saya tak ada tanya khabar dia pun.

“Bila dah terjadi itu semua, saya rasa menyesal sangat, saya tahu sebelum itu dia memang ada sakit batuk tapi saya ingat cuma sakit batuk yang biasa.

“Sampai lah satu hari suami dia mesej saya beritahu yang Yanie dah meninggal akibat masalah radang paru-paru.

“Kita biasa kalau dengan orang kena sakit batuk, kita bukan nak panik pun dan kita fikir nanti ambil ubat batuk okey lah tu.

“Tapi bila saya fikir balik sebenarnya dia batuk sangat lama dan saya pun terlalu lama untuk ambil ringan tentang kesihatan dia. Malah, berbulan sebelum dia kahwin pun saya boleh dengar bunyi batuk dia lain,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Sudah ini berkata kesan daripada situasi yang telah berlaku itu dijadikan sebagai satu pengajaran hidup buat dirinya.

Jelasnya, dia kini bersikap lebih peka dan sentiasa mengambil berat terhadap kesihatan orang disekelilingnya.

“Di sebabkan pengalaman ini, saya tidak akan sesekali nak ambil mudah bila orang lain sakit dan saya tak akan anggap macam sakit biasa.

“Saya akan lebih sentiasa berat untuk bertanya khabar orang lain disebabkan pengalaman ini.

“Sebab saya tidak mahu apa yang terjadi dengan arwah Yanie saya tidak akan ada peluang untuk ucap selamat tinggal dengan orang lain disekeliling saya,” katanya lagi.

Nikki telah berkongsi cerita tersebut menerusi program YouTube #MHLIFESTYLE Media Hiburan, baru-baru ini.

Ikuti pelbagai lagi kisah menarik yang dikongsikan oleh Nikkia menerusi pautan video ini;

Imbas kembali, Yanie atau nama sebenarnya Siti Suriane Julkarim telah menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 1.15 tengahari, 21 Mac 2010 di Hospital Keningau, Sabah.

Difahamkan, Yanie telah meninggal dunia ketika berusia 25 tahun selepas empat bulan menderita terlantar sakit.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Nikki Palikat

Published by
Nazar Rafiqhi