“Tajuk Macam Tu Bahaya, Harap Tak Berlaku Lagi,” – Siti Sarah

Share

“Saya percaya tak semua akan baca penuh isi artikel, tapi hanya baca tajuknya sahaja.” Itu pendapat penyanyi, Siti Sarah yang terkesan apabila ada portal hiburan yang menggunakan tajuk yang dilihat agak bertentangan dengan isi kandungan sesebuah cerita melibatkan selebriti.

Malah katanya kepada MH, tajuk sensasi yang agak ‘lari’ sedikit sebanyak boleh membuatkan peminat akan salah erti, seterusnya membuat andaian sendiri jika hanya membaca tajuknya semata-mata.

“Saya faham, tajuk yang ‘catchy’ boleh menarik orang untuk membaca sesebuah artikel yang dikeluarkan. Saya pun bukanlah baru dalam industri.

“Bagaimanapun, kalau ada tajuk yang diolah terlalu sensasi hingga boleh beri persepsi berbeza kepada mereka yang hanya baca tajuk, ia secara tak langsung boleh menyebabkan fitnah.

“Apatah lagi apabila cerita yang dikeluarkan melibatkan mereka yang sudah berkahwin dan berkeluarga,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi lagu Semakin ini turut menjelaskan ada ketikanya reaksi atau perbualan sesama artis di media sosial yang agak kasar dan sinikal hanyalah niat gurau dan tidak memberi apa-apa maksud.

“Tajuk macam tu bahaya kerana rasanya peminat pun faham kadang-kadang perbualan di antara rakan selebriti di media sosial adalah gurau, malah ada juga peminat yang turut sama ikut komen.

“Akan tetapi kalau hal tersebut dijadikan artikel, saya faham dan tak kisah, cuma biarlah selari dengan apa isi dalamnya. Berhemah dan setiap penulisan yang disiarkan.

“Harap hal seperti ini tidak berlaku lagi kerana saya dan suami sebolehnya mahu jalin dan kekalkan hubungan baik dengan semua karyawan dalam industri ini, termasuk rakan media,” tambahnya lagi.

Published by
Rafiq Mazlan