Susulan insiden membabitkan diri serta anaknya, Laana Haura, penyanyi dan pelakon Lufya Omar mengakui dia sudah pun membuat laporan polis, pagi tadi.
Meski masih trauma selepas berdepan detik cemas dipukul di bahagian kepala dan badan dengan kayu dalam cubaan menculik anaknya di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Lufya menjelaskan laporan tersebut polis dibuat di Balai Polis Kota Damansara sekitar kira-kira jam 6 pagi.
“Tak ada istilah saya cuba membuat drama atau mengada-adakan cerita kerana melengahkan urusan membuat laporan polis. Ini soal nyawa yang bukan boleh diperjudikan.
“Jujur saya dan anak masih dalam keadaan trauma. Malah pada masa sama, saya juga dalam rawatan di hospital. Jadi saya ambil masa bertenang untuk bawa hal ini kepada pihak polis.
“Selepas rawatan di hospital pagi tadi, saya dan anak ke balai polis. Kebetulan waktu itu tiada ramai orang, jadi kurang sedikit rasa trauma itu. Setakat ini saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.
Terdahulu, di dalam kejadian jam 4 petang 26 Jun lalu, Lufya mendakwa seorang lelaki berbadan besar telah memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya.
Sementara itu, Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar menafikan lelaki yang memukulnya itu adalah bekas suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.
“Lelaki itu orang asing yang saya sendiri tak kenal. Dan bukan bekas suami saya seperti yang ditebak netizen.
“Ada yang anggap keterangan gambar saya mendedahkan insiden ini di Instagram (IG) bertulis lelaki dayus merujuk kepadanya itu tidak benar sama sekali.
“Bagi saya mana-mana lelaki yang memukul wanita adalah seorang dayus. Kita belum tahu siapa pelakunya. Cuma jangan babitkan dia (Hafiz), biar polis buat kerja mereka,” katanya lagi.
Lufya pada masa sama menjelaskan, niatnya berkongsi insiden itu di Instagram sebagai langkah berhati-hati kepada golongan wanita terutama yang mempunyai anak.
“Sejujurnya saya risau dengan komuniti masyarakat di Damansara, sebab itu saya beranikan diri mendedahkan insiden itu. Walaupun saya masih tebal dengan perasaan trauma.
“Malah saya difahamkan sebelum saya kena pun, sudah berlaku kejadian sama,” katanya.
Lufya menyifatkan peristiwa hitam itu umpama babak drama yang ditontonnya di kaca TV dan pawagam.
“Selama ini, saya melihat babak atau aksi ganas dalam kaca televisyen dan pawagam.
“Namun, saya menempuhnya sendiri, dua hari lalu. Lelaki ini memukul saya dengan kayu pada bahagian kepala dan badan menyebabkan saya alami kecederaan agak teruk.
“Syukur, saya dan anak selamat. Ketika kejadian, Laana sempat menjerit meminta tolong, namun, tiada sesiapa di tempat kejadian dapat membantu.
“Nasib baik, saya pernah belajar bertinju, jadi boleh mempertahankan diri apabila berlaku situasi tak terduga ini.
“Saya sempat menendang muka dan menumbuk alat sulit lelaki ini, sebelum berjaya menyelamatkan diri,” dakwa Lufya.
Pengusaha Luvyacakes itu menambah, sebagai manusia, dia harus sentiasa peka dan berjaga-jaga dalam apa juga situasi.
“Selalunya golongan wanita dianggap lemah, jadi ada ilmu mempertahankan diri.
“Dengan izin Tuhan, saya dapat melawan, sekali gus, menyelamatkan anak.
“Manusia zaman sekarang sanggup buat perkara keji dan semakin hilang perikemanusiaan,” katanya.
Menerusi Harian Metro pada Selasa, Hafiz
menafikan dia terbabit dengan insiden itu dan mendakwa tuduhan netizen adalah fitnah.
Katanya, dia masih berfikiran waras dan tidak sanggup menggunakan kekerasan semata-mata mahu berjumpa anak.
“Tuduhan netizen itu adalah fitnah. Sebagai bapa saya tak sanggup buat macam tu. Kalau nak jumpa anak, saya akan minta izin. Kalau tak dapat jumpa, saya runding baik-baik.
“Kalau nak jumpa saya akan cakap baik-baik dan bukan mengamuk. Kalau dia tak bagi, saya cuba dan minta lagi. Bukan dengan kekerasan. Saya akan cuba faham jika tak dapat jumpa. Saya tetap sabar dan tak putus asa.
“Kalau nak jumpa kenapa perlu serang. Saya bukan jenis berdendam. Perkara lepas biarlah berlalu. Saya sudah lama ‘move on’ dan sudah ada kehidupan baru. Takkan nak upah samseng,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.