Penyanyi Siti Nordiana menolak dakwaan tajuk single baharunya, Amaran yang turut menampilkan Bunga Isme sebagai menyindir mana-mana pihak.
Menurut Siti Nordiana atau Nana, lagu berkenaan sudah diterimanya tahun lalu dan tiada kena mengena mengenai sesiapa.
Malah single tersebut dihasilkan sejak setahun lalu selain judulnya juga sudah ditetapkan lebih awal.
“Jujurnya, tak ada kena-mengena dengan sesiapa. Malah tajuk dan lagu itu senduri pun sudah diterima tahun lalu.
“Saya pun tak sangka ada yang bertanya mengenai perkara itu memandangkan ia tiada kaitan pun dengan apa yang berlaku pada saya,” katanya.
Lagu Amaran ditulis komposer, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat dan kedua-dua mereka turut terbabit sebagai penulis lirik bersama Bunga.
Mengulas mengenai komen netizen yang diterima sejurus dia memuat naik promosi awal lagu tersebut di Instagram pertengahan November, Nana akui terkejut.
“Sebetulnya, ia sebahagian rangka promosi. Apa yang saya muat naik ke Instagram itu juga adalah material dari pihak Warner Music dan saya cuma jalankan tugas saya,” katanya lagi.
Nana pada masa sama tidak boleh menghalang persepsi orang lain.
“Saya tak boleh nak cakap sebab saya tak tahu apa persepsi orang. Bagi saya, memang tak ada kena mengena dan tajuknya dah tak boleh nak diubah. Ia hanyalah hiburan,” katanya.
Berkongsi mengenai kehidupannya selepas isu berkaitan kes mahkamah membabitkan lima individu lain diperkatakan, Nana memilih untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Saya teruskan hidup saya macam biasa. Saya tak nak ambil tahu apa yang berlaku. Apa yang penting, saya nak fokus kepada karier.
“Semua proses mahkamah, saya ikut sahaja dan biar pihak mahkamah yang tentukan,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama di samping Alif Satar, Sayap Bagimu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI