Penyanyi yang kini bergelar pelakon, Khai Bahar mendedahkan dirinya positif dan tidak sedih apabila dua buah lagu nyanyiannya tidak berjaya lolos ke Anugerah Juala Lagu 34 (AJL34), tahun depan.
Malah kongsinya, dia mengambil pengalaman beraksi di pentas berskala besar sebagai satu penanda aras untuk memberikan yang lebih baik buat peminat.
Terdahulu, Satukan Rasa (duet bersama Siti Nordiana) dan 123 tidak berjaya mendapat tempat di kalangan 12 lagu yang bakal bersaing di AJL35 dan hanya terpilih ke peringkat semi final.
“Saya percaya kepada rezeki dan nampaknya tahun ini tiada rezeki untuk ke AJL. Yang pasti saya tidak akan putus asa dan akan cuba lagu untuk tahun hadapan.
“Ada hikmahNya dan saya positif sahaja. Tidak ada rasa kecewa atau sedih memandangkan lagu-lagu yang dipertandingkan pun baik dan saya tidak berjaya ke final bukan beerti tamat segalanya.
“InsyaAllah ada peluang dan ruang lain nanti, begitu juga dengan rakan artis lain yang turut tidak berjaya. Masing-masing sudah berikan yang terbaik.
“Malah rasanya 12 buah lagu yang terpilih memang layak dan saya tetap menyokong,” katanya kepada MH.
Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin turut menambah, sokongan dari peminat juga membuatkan dirinya rasa lebih bersemangat.
“Bila ramai yang memberikan reaksi ketika itu, ia secara tak langsung membuatkan saya lagi bersemangat.
“Mungkin sebelum ini kesilapan kecil saya ketika membuat persembahan di pentas sama sebelum ini, tetapi saya akan cuba perbaiki untuk menjadi lebih baik di masa akan datang.
“Apa-apa pun saya dah cuba yang terbaik, InsyaAllah saya kaji balik persembahan untuk perbaiki apa yang sepatutnya,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Khai turut melancarkan single terbaru berjudul Ratuku bagi mempromosikan bantuan dana perkhidmatan dialisis Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.
Majlis pelancaran lagu dan muzik video lagu Ratuku dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Majlis tersebut telah berlangsung di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada Rabu.