Pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak (Amir RL) atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi mula bercuti dari berniaga air minuman yang diusahakan bermula kerana mempunyai komitmen penggambaran.
Menurut Amir, 32, dia rasa serba-salah terpaksa menutup gerai hari ini memandangkan dia tidak akan mempunyai masa untuk membancuh sendiri air minuman yang dijual.
“Rasa serba salah juga nak cuti sebab bila saya ‘update’ akan cuti, ramai pelanggan datang tanya bila hari terakhir berniaga. Ada yang beli lebih dari kebiasaan.
“Mereka (pelanggan) pun ada minta saya bagi orang lain jaga gerai sebab senang nak datang beli nanti. Saya tak boleh buat apa sebab air minuman itu saya yang bancuh sendiri.
“Saya ada dua pekerja, seorang jaga gerai dan seorang lagi tolong bancuh. Sebelum ini pun, yang tolong saya niaga adalah kawan kru penggambaran dan dia pun akan start ‘shooting’ cerita sama sekali dengan saya,” katanya memetik Harian Metro.
Difahamkan, Amir bakal menjalani penggambaran di Kota Bharu, Kelantan.
“Saya syukur alhamdulillah sangat-sangat sebab memang rindu dengan suasana penggambaran. Untuk ‘job’ pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, saya akan jayakan supertele bertajuk Hantu Mok Joh.
“Kebetulan lokasinya juga adalah di Kota Bharu. Alang-alang itu, saya terus balik tidur di rumah keluarga untuk lepas rindu, lagipun sudah lama tak balik ke kampung,” katanya.
Meskipun merancang cuma menutup perniagaan air minumannya selama sebulan, Amir tidak menafikan ia boleh berlanjutan sekiranya menerima lebih banyak tawaran seni dalam masa terdekat.
“Saya pasti merindui suasana berniaga dan pelanggan. Tapi, saya mungkin akan sambung cuti berniaga lagi memandangkan saya pun ada juga ejen minuman itu di Seksyen 4, Bangi.
“Pelanggan boleh ke tempat dia juga kalau teringin nak minum air jualan saya. Yang meniaga di sana itu pun adalah Azul iaitu pemain dram kumpulan Stings selepas tahun lalu dia menjadi ejen saya,” katanya.
Dia sebelum ini mencari rezeki menjual beberapa jenis air minuman di gerai tepi jalan miliknya di Prima Saujana, Kajang sejak PKP 3.0 sekitar Jun lalu.
Malah Amir turut memaklumkan perkara sama menerusi Instagram miliknya pada Ahad.
Foto: Instagram Amir Raja Lawak