“Tak Boleh Fikir Ke? Ingat Aku Anak Jenis Apa?,” – Reen Rahim Kena Tuduh Melulu Sebab…

Share

Selepas teruk dikecam netizen gara memuat naik sebuah video yang mengatakan dirinya tidak pernah bangun sahur disepanjang hidupnya, pelakon Reen Rahim tampil menjelaskan mengenai perkara tersebut.

Menurut Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, sebagai anak bongsu, dia sudah terbiasa dimanjakan oleh ahli keluarga sehingga juadah bersahur pun akan dihidangkan secara khas buat dirinya.

“Saya ini anak bongsu perempuan. Ibu bapa dan adik beradik saya memang memanjakan saya sangat. Nasib baik saya ini pandai berdikari dan rajin bekerja ketika di luar tapi bila di rumah, saya tak begitu.

“Saya rasa ramai anak perempuan bongsu di luar sana berperangai seperti saya. Bila setiap kali sahur, memang mak saya akan bawa makanan dan suap saya. Saya jarang ada pengalaman bangun sahur diawal pagi.

“Mungkin sebab ibu dah masak dengan perangai saya, dia hanya akan bawa air dan kejut saya 15 minit sebelum imsak,” katanya kepada MH.

Reen berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem, Sumpahan Malam Raya yang diadakan di GSC, NU Central, Kuala Lumpur pada Rabu.

Bagaimanapun, Reen akui terkilan apabila ada segelintir pihak yang menuduhnya tidak berpuasa hanya kerana tidak bangun sahur.

“Bila saya kena bangun dan masakkan sahur untuk suami, saya jadi teruja. Tak sangka saya boleh bangun dan masak di awal pagi. Kemudian, saya buatlah video story di Instagram. Saya nyanyi lagu spontan ‘tak pernah bangun sahur’.

“Memang saya yang menyanyikan lagu tersebut tapi yang sibuk mengecam ni, korang tak boleh fikir ke? Anda ingat saya ini anak jenis apa? Saya ada mak bapak. Tak ingatkan ke macam mana mak bapak saya ajar mengaji?

“Nak kecam saya tak bangun sahur itu boleh diterima lagi. Masalahnya mereka kata saya ini tak pernah berpuasa.

“Saya tak perasan perkara ini viral kerana ketika itu, saya shooting di kawasan yang tiada liputan telefon selama tiga hari,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pelakon drama Keluarga Instafamous ini bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat memahami dan bertimbang rasa.

“Ibu saya orang yang paling bangga bila tahu saya bangun dan masak juadah sahur untuk suami. Saya teruja menyambut Ramadan sebagai seorang isteri.

“Namun, bila saya perlu keluar bekerja, saya memang tidak akan buat kerja rumah kerana kepenatan. Bila saya dah cukup rehat, barulah saya akan masakkan untuk suami. Kalau saya bekerja, dia yang akan masak. Kami memang bertimbang rasa.

“Lagipun, kami sama-sama orang industri, kami faham penat masing-masing. Kalau kami dua-dua penat, kita boleh bayar khidmat pembantu untuk uruskan hal rumah,” akhirinya.

Untuk rekod, Reen selamat mendirikan rumah tangga bersama Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Boraombak Marina, Putrajaya pada 24 Disember tahun lalu.

Kredit foto: Instagram Reen Rahim

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf