“Semuanya berjalan dengan lancar dan terima kasih kerana menonton Big Stage 5.”
Demikian reaksi pengacara Big Stage 5 (BS5) Elly Mazlein mengenai komen yang diberikan segelintir warganet yang seolah-olah kurang senang melihat penampilan bintang berkenaan ketika mengenalikan program itu, malam tadi.
Elly yang mesra disapa Kak Lina tampil mengenakan persalinan jaket senteng dalam rona perak lengkap dengan padanan skirt labuh bawah lutut.
“Tidak mengapa, kita sentiasa kena positif. Apa sahaja (yang ditulis) di Twitter ke apa tak apa saya okay. Sebab saya juga dapat banyak sokongan daripada mereka juga. Jadi kalau ada yang tegur ke saya okay dan hormati. Kerja tetap jalan seperti biasa,” katanya kepada MH.
Mahu terus perbaiki demi memberikan yang terbaik, penyanyi lagu Dusta Cinta ini bagaimanapun mengambil maklum akan nasihat serta teguran membina warganet terhadapnya.
“I love netizen… bukannya apa sebab apa yang saya nampak, ada di antara mereka yang sebenarnya banyak membantu dalam perjalanan karier seni saya juga. Kita tidak boleh sikit-sikit nak sentap, melenting. Tak payah.
“Sebab mungkin ada yang diperkatakan oleh mereka itu betul. Masing-masing punya hak untuk membuat sebarang komentar. Saya menghormati segala pendapat.
“Saya tak pernah nak marah sebab saya berada di sini dan diterima pun kerana mereka juga. Tak boleh nak kecil hati. Kita pula sudah 18 tahun (dalam industri) tak kan sikit-sikit nak sentap,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ramai juga yang terhibur dengan gaya mengacaraannya bersama rakan hos, Rina Nose meski pertama kali digandingkan bersama di atas satu pentas secara langsung.
“Sebagai hos kita cubalah memberikan yang terbaik dan saya bersyukur kerana ‘combo’ Kak Lina dan Rina ini diterima. Bukan senang nak buat orang ketawa. Memang kami menjadi pengacara sebuah rancangan pertanding, tetapi pada masa sama kita selitkan juga jenaka dan elemen humor.
“Sebab kita mainkan peranan iaitu selain penonton melihat sebuah pertandingan, pada masa sama mereka juga boleh berhibur. Tidaklah sekarang ada pertandingan sahaja, tak best… kena ada ‘warna,” katanya.
‘Big Stage’ telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya sebelum ini iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019),
Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).BS5 bersiaran secara langsung dari AuditoriumMBSA, Shah Alam mulai 7 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) selama 10 minggu.
Terdahulu dalam minggu ketiga saingan, penyanyi Naufal Azrin diumumkan sebagai bintang kedua yang tersingkir selepas berada di kedudukan tiga tercorot.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini