Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sememangnya terkenal bukan sahaja kerana kehebatan suaranya tetapi budi pekertinya yang sangat merendah diri.
Perkara tersebut turut diakui oleh penerbit album, komposer dan jurutera muzik terkenal, Roslan Aziz.
Bercakap di program Youtube, Kerusi Dj Naz terbitan Molek FM, Roslan memberitahu, dia sudah lama mengenali sosok seorang Siti Nurhaliza dan amat mengagumi penyanyi tersebut kerana sifatnya yang sangat menghormati orang lain.
“Siti Nurhaliza ini dia seorang penyanyi yang punyai kehebatan luar biasa. Saya pernah berkerja dan bergaduh dengan dengan dia.
“Tapi sebenarnya dengan Siti ni tak boleh nak bergaduh pun sebab dia sangat baik. Dia hormat orang. Itulah main factor seorang Siti Nurhaliza,” katanya.
Roslan merupakan individu yang bertanggungjawab selaku penerbit konsert dan jurutera rakaman sewaktu Siti menjayakan konsert istimewa di Royal Albert Hall, London pada 2005.
Pada masa sama, Roslan turut menafikan sikap yang ditunjukkan oleh penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu hanyalah sekadar dibuat-buat.
“Itu bukan PR. Memang sifat semula jadi dia sebegitu. Saya dah pernah berjumpa dengan mak dan ayah dia. Mereka juga hormat orang lain. Paling utama dia hormat diri sendiri.
“Kalau sifat tersebut dibuat-buat? Sampai bila boleh bertahan? Kalau buat-buat, sekejap je orang boleh tahu. Kalau sifat itu datang dari dalam, akan berkekalan selamanya.
“Bila hormati orang lain, barulah sifat-sifat baik yang lain akan turut terserlah,” ujarnya lagi.
Malah, Roslan turut memilih Siti sebagai tiga penyanyi pilihannya sepanjang zaman disamping Zainal Abidin dan Sheila Majid.
Setakat ini, video tersebut telah pun meraih hampir 50,000 jumlah tontonan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber: Youtube Molek FM & Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI