Pelakon terkenal, Zul Ariffin akui teruja apabila bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 10 Jun ini untuk menunaikan ibadah haji.
Menurut Zul, dia bakal berangkat sedikit lewat daripada jemaah-jemaah lain kerana ia merupakan jemputan khas.
“Saya akan berangkat menunaikan haji pada 10 Jun ini. Saya tak nervous sebaliknya okay sahaja. Sekarang ini, ada beberapa perkara yang perlu saya ambil tahu antaranya perkara-perkara yang akan dipelajari ketika kursus.
“Sepatutnya, saya sudah pun menjalani kursus tetapi saya terpaksa anjak sebab jadual penggambaran yang agak padat. Jadi, saya kena cepat belajar la nanti.
“Perjalanan pertama jemaah haji telah pun bermula pada 20 May lalu. Namun, saya telah mendapat jemputan untuk turut sama menunaikan haji. Ia bukan melalui Tabung Haji.
“Saya anggap peluang ini sebagai rezeki bila kami telah dijemput untuk menjadi tetamu Allah. Namun, banyak perkara yang harus saya catch up,” katanya kepada MH.
Zul berkata sedemikian ketika ditemui ketika sesi lawatan media ke set penggambaran filem, Sheriff yang berlangsung di Bandar Malaysia, Sungai Besi pada Isnin.
Katanya lagi, dia akan sedaya upaya mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal sebelum berlepas ke Mekah.
“Kalau ikutkan, saya masih lagi ada komitmen kerja bersama pihak Astro tetapi saya minta anjakkan kerana saya perlu buat persediaan.
“Kalau menunaikan umrah, saya dah punyai pengalaman dan tahu selok-beloknya. Namun, bila melibatkan ibadah haji, kita kena pergi awal untuk persediaan.
“Dengar khabarnya, keadaan orang di sana pun sangat ramai dan cuaca di sana pun sangat panas. Jadi, saya ada masa kurang dua minggu untuk mempelajari segalanya,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Zul turut menyifatkan jemputan ini sebagai hikmah apabila hajatnya untuk menyambut Ramadan dan Syawal di Mekah tidak kesampaian
“Saya sangat teruja. Namun, saya tak boleh bayangkan lagi lautan manusia di sana nanti macam mana. Selalunya kita tengok di televisyen sahaja. Cuaca pun dikhabarkan mencecah 45 darjah celcius.
“Sepatutnya saya merancang untuk menyambut Ramadan dan Syawal di Tanah Suci tapi tak berkesempatan tapi perancangan Allah itu sangat cantik. Saya dijemput pula tunaikan haji,” akhirinya.
Terdahulu, Zul bakal membawakan watak sebagai Sherif yang juga merupakan seorang pegawai polis ‘rebel’.
Menerusi filem ini, Zul bakal bergandingan bersama nama-nama besar seperti, Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle dan Azira Shafinaz.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Zul Ariffin