Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat akui dia mengalami banyak perbezaan yang ketara sewaktu hamil anak kedua jika ingin dibandingkan dengan kehamilan yang pertama.
Menurut Ayda yang kini sedang giat menjalani penggambaran filem Bukan Cinta Sempurna, dia juga terkejut apabila badannya masih mampu bekerja meskipun usia kandungan sudah memasuki lima bulan.
“Pengalaman mengandung kali kedua ini sememangnya berbeza. Ada perkara ketika hamil anak pertama yang saya tak boleh buat tapi saya boleh buat ketika hamil anak kedua ini.
“Saya terima tawaran berlakon ini sebaik sahaja saya tahu yang saya hamil. Saya rasa badan saya boleh terima untuk melakukan kerja ini.
“Sewaktu hamil anak pertama, saya memang tak boleh bangun, balas mesej dan tak mahu bekerja langsung. Kali ini saya sangat aktif.
“Namun, ada juga hari yang terpaksa kita hentikan penggambaran sebab sakit belakang atau banyak berjalan. Hal ini memang tak boleh nak dielakkan. Saya terpaksa mohon maaf kepada team produksi,” katanya kepada MH.
Isteri kepada pelakon dan pengacara, Nabil Mahir itu berkata sedemikian ketika ditemui dimajlis sidang media drama berkenaan yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Nakal ini turut mendedahkan dirinya tidak mengalami sebarang alahan pelik tetapi dia agak sedih kerana tidak dapat minum minuman kesukaannya.
“Saya tiada mengidam yang pelik-pelik. Namun, ada benda yang saya sangat suka tapi saya tak boleh nak amalkan ketika ini dan ia membuatkan saya sedih hampir setiap hari iaitu minum Milo.
“Saya sendiri tak tahu kenapa? Bila saya minum, saya akan muntah. Badan saya ini boleh dikatakan memang sudah sebati dengan Milo. Hari-hari kena minum Milo.
“Saya cuba minum sejak dari awal kehamilan, memang tak boleh. Hari berikutnya pun sama.
“Saya cuba lagi selepas trimester pertama mengharapakan hal tersebut berubah tapi sama juga,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai reaksi Nabil ketika dia memutuskan untuk bekerja ketika hamil, Ayda mendedahkan suaminya itu sentiasa menunjukkan sokongan dan memudahkan urusannya ketika penggambaran.
“Nabil memang tiada masalah kalau saya bekerja. Malah, dia pula yang bekerja secara mobile kerana dia mahu bawa saya ke tempat penggambaran hari-hari.
“Jika dia ada kerja atau mesyuarat, dia akan lakukan secara atas talian atau lari sekejap. Kemudian, dia datang semula ke tempat saya.
“Saya rasa selamat bila suami ada di sebelah saya. Semasa penggambaran, saya harus melakukan banyak perkara, jadi, dia banyak bantu memudahkan urusan saya,” akhirnya.
Semalam, Nabil dan Ayda telah membuat pengumuman istimewa memaklumkan mereka kini sedang menantikan kehadiran cahaya mata kedua.
Sekadar informasi, Ayda dan Nabil telah mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021.
Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Ana Nayla yang kini berusia dua tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.