Hiburan

“Tak Harap Apapun, Cuma…,”- Tular Video Menangis Dengan Anak, Abby Abadi Nafi Bezakan Kasih Sayang

Share

Baru-baru ini, pelakon Abby Abadi dan anak bongsunya, Maria Danisha telah dijemput sebagai selebriti undangan untuk sebuah program masakan yang akan ditayangkan di televisyen.

Malah, klip-klip sewaktu penggambaran turut tular di seluruh platform media sosial.

Antara momen yang menarik perhatian netizen apabila Abby dan Maria dilihat sama-sama menitiskan air mata ketika program sedang berlangsung.

Susulan video tersebut, timbul pula dakwaan daripada seorang netizen yang mengatakan Abby menitiskan air mata kerana kini hanya Maria sahaja yang akan menjadi satu-satunya anak perempuan harapan keluarga.

Lantaran itu, Abby tampil memberikan reaksi balasnya dengan mengatakan dakwaan tersebut tidak benar dan video berkenaan juga telah disalah tafsir.

Menurut Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, sebagai ibu, dia tidak pernah membezakan kasih sayang terhadap kesemua anak-anaknya.

“Mana dapat kenyataan ini? Saya tiada cakap macam itu pun. Anak-anak semua saya layan sama rata.

“Tak pernah lebihkan siapa pun.
Baik yang kecil, baik yang besar ya,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Katanya lagi, dia sentiasa mendoakan agar anak-anaknya itu dilindungi Allah dalam apa jua perkara yang mereka lakukan.

“Tak pernah berharap apa pun. Cuma sentiasa berdoa Allah jaga mereka. Satukan hati kami hingga ke Syurga Firdausi,” katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan sifat keibuan yang ditunjukkan Abby selain turut mendoakan semoga keluarga ini terus harmoni sampai bila-bila.

“Netizen mulut celupar. Cakap macam tahu semua benda. Padahal tengok daripada luaran sahaja tapi perspektif jauh sampai ke dalam. Akhirnya, malu sendiri.

“Abaikan sahaja mulut orang yang tiada insurance tu.

“Kita doakan yang terbaik. Perjalanan anak-anak masih panjang. Masih banyak duri ranjau di atas dunia ini. Semoga terus dalam jagaan Allah.

“Baby makin lawa,” antara komen-komen netizen.

Terdahulu, nama puteri sulung Abby Abadi dan Norman Hakim, Marissa yang juga merupakan model dan pempengaruh kembali hangat selepas didakwa telah berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand dengan lelaki berstatus suami orang bernama Aslam.

Pasangan berkenaan dikatakan mendirikan rumah tangga sekitar Disember tahun lalu tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, Misya Mazlan yang ketika itu menunaikan umrah.

Lebih dramatik, pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan ahli keluarga Marissa sendiri.

Bagaimanapun, sehingga hari ini Abby dan Norman masih kekal mengunci mulut tanpa mengesahkan atau menafikan pernikahan tersebut.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf