Penyanyi Ronnie Hussein tidak menafikan penyertaannya dalam program Gegar Vaganza (GV) musim ke-11 yang akan memulakan saingannya Ahad ini sebagai platform terbaik untuknya membuktikan kemampuan menyampaikan pelbagai genre lagu.
Menurut Ronnie atau nama sebenarnya Shahron Hussein, 43, dia bertuah apabila menerima sokongan daripada pasukan syarikat rakaman sepanjang saingan GV11 nanti.
“Apabila pihak produksi tawar kepada saya, saya fikir banyak kali sebenarnya. Mungkin ini adalah masa terbaik untuk saya.
“Saya terima tawaran itu juga menerusi pihak Indigital, memandangkan saya pernah berurusan dengan mereka.
“Jadi saya rasa saya sudah bersedia sebab sekurang-kurangnya, ada ‘team’ yang boleh memudahkan perjalanan saya di GV nanti.
“Tambahan pula ia sebuah pertandingan yang menarik, jadi mengapa tidak untuk saya ambil peluang dan pada masa sama cuba berikan yang terbaik, insya-Allah,” katanya.
Dalam teruja untuk bersaing bersama barisan penyanyi ‘otai’ di GV11, Ronnie yang baru sahaja kehilangan ibu tercinta pada 26 Oktober lalu mengakui sempat sempat memberitahu ibunya mengenai keputusan untuk bertanding.
“Sempat saya bercerita dengan arwah yang ketika itu berada di hospital, yang saya akan sertai GV. Tapi perkongsian itu tidaklah secara serius sebab dia kurang sihat.
“Dia okay, dia sentiasa menyokong apa yang saya buat dan tahu saya pandai jaga diri.Dia percaya yang saya boleh buat, banggakan dia.
“Sebab itu saya berani juga ambil cabaran ini, tapi itulah tidak kesampaian untuk dia tengok saya di GV. Saya harap dia selalu doakan saya, dapat banggakan dia. Insya-Allah,” kongsinya sebak.
Turut sama bersaing termasuk Sheila Abdul, Arrora Salwa, Zehra Zambri, Ning Baizura, serta lagenda dari Indonesia iaitu Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima.
Dalam perkembangan lain, Ronnie kini muncul dengan single terkini yang berjudul Benar Aku Cinta.
Lagu berentak balada itu bukan sahaja menyerlahkan vokalnya yang mantap tetapi juga dilihat sebagai penyambung legasi perjalanan seni penyanyi yang berasal dari Johor ini.
Malah bagi Ronnie, Benar Aku Cinta juga mempunyai nilai yang cukup istimewa, apatah lagi mengenangkan liriknya yang berkaitan dengan kehilangan dan insan yang dicintai.
“Ada sesuatu yang menarik perhatian saya apabila mendengarkan demo lagu ini buat kali pertama. Hanya mendengar demo saja, saya sudah jatuh cinta.
“Bahkan saya merasakan ada sesuatu yang menarik perhatian dengan melodi lagu ini. Jadi bila lagu ini secara rasminya dilancarkan, saya orang paling gembira.
“Harapnya naskhah ini akan diterima baik oleh pendengar,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Di Koyak Waktu.
Benar Aku Cinta merupakan lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Bee Ngapz dan mendapat gubahan muzik oleh Rudy Nastia selain Afif Tirmizie bertindak selaku penasihat vokal.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini