Sanggup berbelanja besar dan menolak beberapa tawaran kerja hampir RM200,000, pengorbanan penyanyi Shiha Zikir nyata berbaloi apabila dia dan kakaknya, Ieda Zikir dinobatkan selaku juara Famili Duo musim ke-4.
Menurut Shiha, sepanjang bergelar anak seni, dia tidak pernah berkira dari segi kewangan untuk memberikan persembahan terbaik buat para peminat.
“Bila saya berada di atas pentas. Saya tak pernah fikir fasal duit kemenangan. Pada saya, penonton ingin melihat siapa Shiha dan Ieda.
“Kalau saya berkira-kira, saya tidak akan buat persembahan laser di pentas akhir yang menelan kos RM60,000. Tanyalah dengan pasukan saya, saya tak pernah berkira.
“Kalau tak menang pun tak mengapa. Saya rasa puas. Saya ini jiwa seorang pejuang. Asalkan sudah buat yang terbaik. Yang lain adalah rezeki.
“Kalau berkira, saya tak puas. Saya tak nak sajikan persembahan biasa-biasa je kepada penonton. Kalau kira hadiah kemenangan ini dengan apa yang saya laburkan, ia lebih sebenarnya,” katanya kepada MH.
Shiha berkata sedemikian ketika ditemui usai pentas akhir Famili Duo 4 yang berlangsung di Studio NTV7, Shah Alam pada Ahad.
Dalam pada itu, Shiha akui tidak menyangka dia dan kakaknya mampu bergelar juara memandang saingan mereka sudah pun menunjukkan taring sejak konsert minggu pertama.
“Keputusan pada malam ini (semalam) sememangnya tidak disangka. Saya sebak bila ingat semula perjalanan nak ke final ini. Saya sangat sensitif.
“Untuk Famili Duo ini, cabaran dan kesusahannya sangat berbeza. Setiap minggu, saya rasa seperti bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Ditambah pula ini adalah pertandingan duo. Kami kena fikir kemampuan masing-masing. Pasangan lain semua hebat-hebat belaka. Kami rasa kecil sangat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Irama ini turut memaklumkan Famili Duo 4 ini bakal menjadi program realiti terakhir yang akan disertainya.
“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya tak tahu lagi apa akan jadi pada masa hadapan, buat masa sekarang, ini adalah kali terakhir saya menyertai pertandingan realiti.
“Saya sudah pun keluarkan segalanya yang saya ada. Saya juga mahu berterima kasih kepada kakak kerana dia sentiasa berikan yang terbaik tanpa berkata tidak.
“Dia ikut sahaja apa yang saya mahukan. Mungkin ini juga merupakan doa daripada ibu kami,” akhirinya.
Kemenangan ini membolehkan Shiha dan Ieda membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 dan trofi.
Elemen silat dan budaya yang ditampilakn di persembahan kedua nyata memberikan kelebihan buat duo adik beradik ini seterusnya memukau para juri iaitu Datuk Rosyam Nor dan Mas Idayu.
Kedua-dua juri turut memberikan standing ovation dan markah ‘perfect 10’ buat Shiha dan Ieda menerusi persembahan kedua melalui lagu Mentera Semerah Padi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Kredit Foto: Instagram TV3