“Tak Kisah Kalau Janda Pun, Janji…,”- Lebih Dua Tahun Bergelar Duda, Issey Tak Gopoh Cari Bakal Isteri

Share

Lebih dua tahun bergelar duda, pelakon dan penyampai radio, Issey Fazlisham mengakui dia tidak terburu-buru di dalam mencari pasangan hidup kerana mahu lebih fokus terhadap kerjaya seninya ketika ini.

Katanya kepada MH, setakat ini dia sendiri tiada wanita yang boleh dikatakan teman rapat. Sebaliknya hanya mereka yang boleh dikategorikan sebagai kawan biasa sahaja.

“Saya belum ada pengganti. Tiada yang betul-betul rapat. Bukan takut dengan pengalaman lalu, tetapi sekarang saya lebih selesa beri fokus dengan kerjaya sekarang, banyak komitmen yang perlu diselesaikan,” katanya jujur.

Ditanya sama ada dia pernah rasa sunyi tanpa insan bergelar isteri di sisi, pelakon Hantu Don tidak menafikan perkara berkenaan.

Cuma, jadual kerja yang padat di samping meluah perasaan pada lagu menjadi alternatif terbaik buatnya untuk hilangkan rasa sunyi.

“Bohonglah kalau saya kata tak sunyi. Sebab itulah saya ada luahkan pengalaman lalu dalam single sulung saya berjudul Alololo. Kiranya lagu tersebut sebenarnya diinspirasikan daripada kisah lalu saya juga,” jelasnya yang tidak memberi sebarang target untuk menamatkan zaman duda.

Diminat menyebut kriteria bakal isteri yang dicari-cari Issey, bintang ini menjelaskan dia mendampa wanita yang memahami kerjayanya sebagai anak seni dan bukan di kalangan mereka yang satu industri.

“Kalau boleh dia kena faham dengan kerja saya yang tidak menentu dan kalau boleh, nak elak rakan industri sebab saya nak wanita yang dunia kerjayanya berbeza dengan saya. Barulah lebih cerita yang boleh dikongsikan bersama.

“Tak kisah kalau janda pun. Janji dia seorang yang begitu memahami itu sudah memadai. Rakan-rakan sebaya lain pun sudah ada keluarga dan anak sendiri. Siapa tahu lepas ni jodoh saya dengan wanita yang sudah ada anak pula,” seloroh Issey.

Terdahulu, Issey ditemui media pada majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Deeja Cosmetics 2018 di Hartamas, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Issey kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Ustaz Evo The Movie untuk siaran Astro Warna.

Foto: Instagram Issey Fazlisham

Published by
Rafiq Mazlan